BEAUFORT: Penyanyi veteran Datuk Khadijah Ibrahim cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di sini semasa dalam perjalanan dari Brunei Darussalam menuju ke Kota Kinabalu, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muhammad Hasbullah Nenggok berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.28 petang itu, kereta Toyota Hilux dinaiki Khadijah bertembung dengan sebuah Toyota Avanza, dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort-Kota Kinabalu.
Selain Khadijah, empat lagi mangsa cedera masing-masing dua dari Hilux dan Avanza itu.
Keadaan penyanyi itu dilaporkan baik dan semua mangsa dapat keluar sendiri dari kenderaan sendiri dengan dibantu orang ramai sebelum ketibaan pasukan bomba.
Khadijah dilaporkan hanya mengalami cedera ringan dan dipercayai memandu kenderaan terbabit.
Muhammad Hasbullah berkata seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort dikejarkan ke lokasi bersama dua jentera termasuk kenderaan EMRS, diketuai PBK II Irwan Abdul selaku Komander Operasi dan tiba pada jam 5.34 petang.
“Dua mangsa dalam Avanza dan tiga mangsa dalam Hilux dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.