Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa memiliki 41.1g dadah – 3.4Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Victor Chin mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, terhadap pertuduhan dihadapinya pada Selasa.
Chin didakwa memiliki dadah itu jam 11.45 malam pada 27 Mei tahun ini di sebuah unit di Pangsapuri Beverly hills, Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya itu membawa hukuman penjara antara lima tahun dan penjara seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan rotan, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 4 Nov tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Sementara menunggu tarikh itu, Chin diperintah direman lanjut sehingga kesnya selesai. Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim melakukan pendakwaan manakala peguam Luke Ressa Balang mewakili Chin.
Dalam kes berasingan, seorang warga Filipina berusia 59 tahun dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram. Pendy Sulaiman mengaku di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain, kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen.
Pendy ditahan pada 4 Sept tahun ini jam 5.56 petang di kawasan Telipok selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Mahkamah memerintahkan Pendy menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas dibebaskan dari penjara. Pegawai Pendakwa Abu Sopian Karate dari Jabatan Imigresen tampil untuk pendakwaan.