PENAMPANG: Kerajaan telah memulakan inisiatif pendigitalan berlandaskan prinsip 5A, bermaksud “Accessible by Anyone at Anytime, Anywhere by Any Mobile Device”, di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, konsep ini menekankan kepentingan penyampaian perkhidmatan dalam talian yang sentiasa boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang memerlukannya.
Selain itu, ia menekankan rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa batasan kedudukan geografi.
“Dalam konteks ini, saya memohon pengurusan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) melaksanakan inisiatif transformasi pendigitalan ke atas perkhidmatan MPP untuk meningkatkan kecekapan melalui adaptasi teknologi internet dalam semua perkara (IoT).
“Melalui transformasi ini, proses kerja, pangkalan data, akses maklumat dan sistem pelaporan diautomasikan kepada sistem digital di sepanjang rantaian penyampaian (hujung-ke-hujung).
“Dengan ini, setiap transaksi perkhidmatan dari peringkat permohonan, pemprosesan, kuiri, keputusan dan kelulusan boleh dilakukan secara digital.
“Selain itu, inisitif pendigitalan ini akan dapat mempermudahkan penyampaian perkhidmatan di samping mengurangkan ketirisan dengan menawarkan perkhidmatan yang telus,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Penampang bagi sesi 2024-2026 di ITCC Penampang, Khamis.
Dr Joachim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata, selaras dengan penaiktarafan Majlis Daerah Penampang ke status perbandaran, wujud pertambahan fungsi organisasi iaitu fungsi Pembangunan Luar Bandar dan Komuniti.
Selain perkhidmatan perbandaran, pengurusan MPP harus memberikan fokus kepada kawasan luar bandar, katanya, yang mahu kerjasama dengan jabatan serta agensi lain juga amat penting dalam melaksanakan tugas dan fungsi Majlis dengan lebih berkesan dalam merealisasikan pembangunan daerah.
“Semoga kolaborasi ini dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dan mendatangkan hasil berimpak tinggi, yang bukan sahaja memberi impak terhadap prestasi Majlis Perbandaran Penampang, tetapi juga kepada jabatan dan agensi terlibat,” ujarnya.
Mengucapkan tahniah kepada 24 Ahli MPP diketuai oleh Presidennya, Francis Chong yang terdiri daripada golongan professional dan berpengalaman, Dr Joachim meminta mereka yang diberikan mandat untuk memberikan sumbangan tenaga dan kepakaran kepada Majlis Perbandaran Penampang.
“Keputusan-keputusan yang bakal dibuat hendaklah meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan. Peranan Ahli Majlis sangat penting terutamanya dalam membuat keputusan dan mengendos peraturan, polisi, pelaksanaan tugas dan perundangan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau meminta mereka memberikan komitmen penuh dalam melaksanakan kewajipan tuan puan, pelantikan ini merupakan satu amanat yang perlu dilaksanakan.
“Jangan bersikap sambil lewa dan mengambil mudah pelantikan sebagai Ahli Majlis.
“Pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab, ia bukan lah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun saudara-mara.
“Keperluan dan kepentingan awam hendaklah diberi keutamaan. Justeru, peganglah amanah yang telah diberikan jujur, ikhlas, bertanggungjawab dan amanah.
Sebagai Ahli Majlis, kamu juga bertindak sebagai wakil masyarakat di kawasan masing-masing, kamu harus turun padang untuk mengenal pasti permasalahan masyarakat dalam kawasan tersebut dan membantu Majlis Perbandaran Penampang dalam menangani isu-isu semasa.”
Beliau percaya, dengan komitmen penuh dan kerjasama antara Ahli Majlis dan pihak pengurusan Majlis Perbandaran Penampang, matlamat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan dapat dicapai.
Status MPP diwartakan pada 6 Jun tahun ini.