Tuaran: Polis melepaskan beberapa das tembakan terhadap kenderaan yang dipandu laju dan melawan arus selain cuba merempuh kereta peronda polis (MPV) di Jalan Tuaran - Kota Kinabalu berhampiran stesen minyak di Pekan Telipok di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kejadian berlaku pada jam 9.29 malam apabila MPV dari IPD Kota Kinabalu terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu laju dan melawan arus.
Katanya, pihak MPV polis cuba menahan dan menghentikan kereta yang dinaiki oleh dua suspek terbabit namun suspek bertindak memecut dan cuba merempuh kenderaan polis.
Polis kemudian berjaya menahan kedua-dua suspek lelaki warga asing.