PUTATAN: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata gabungan antara parti nasional dan tempatan adalah pilihan terbaik untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi berkata, dalam menghormati pandangan pihak yang mahu hanya parti tempatan bertanding, rakyat sedar kesejahteraan di Sabah adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Maka, kaedah yang paling baik adalah mewujudkan persefahaman dan saling menghormati antara Persekutuan dan negeri.
“Itu pandangan saya dan pandangan PKR. Bagi mereka yang punya pandangan berlainan, saya pasti ada asas mereka masing-masing sebab itu kepada PKR Sabah, nasihat saya adalah sementara kita ada pandangan masing-masing kita tak boleh biarkan rakyat terkontang-kanting,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Keadilan Menang Siri PRU16 (Kemas16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25), di sini, Sabtu.
Mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN)-PH, Rafizi berkata, urusan berkaitan komposisi gabungan tertakluk kepada pertimbangan dan rundingan yang akan diputuskan di peringkat Majlis Kerajaan Perpaduan.
“Apa yang pasti pada ketika ini, PKR Sabah adalah sebahagian anggota komponen kerajaan negeri yang baik.”
Rafizi juga berkata keperluan mewujudkan Tabung Amanah bagi peruntukan Persekutuan yang tidak habis digunakan harus mengambil kira keputusan kerajaan untuk menyerahkan projek di bawah RM50 juta kepada Sabah.
Beliau berkata walaupun tanpa ada tabung amanah, isu berkaitan peruntukan Persekutuan sebahagiannya telah selesai melalui keputusan menyerahkan projek di bawah RM50 juta kepada Sabah.
Beliau berkata, sebelum ini yang menjadi polemik adalah biarpun peruntukan telah diluluskan tapi, apabila agensi Persekutuan lambat melaksanakannya maka, peruntukan tersebut tidak sampai kepada kerajaan Sabah.
“Sebenarnya perkara itu sebahagiannya telah diselesaikan dengan keputusan menyerahkan projek di bawah RM50 juta tersebut.
“Namun, kita juga nak memastikan dalam transisi dan peralihan itu, semua projek berjalan dengan baik dan lancar. Saya ingat kita akan melakukannya langkah demi langkah,” katanya ketika Konvensyen Keadilan Menang.
Rafizi berkata isu peruntukan itu sebenarnya dibincangkan dalam kerangka antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana ia memang perkara khusus dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).