Kota Kinabalu: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata wanita GRS yang mahu menjadi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mesti individu yang berpotensi, berwibawa dan boleh menang.
“Kita mahu calon layak, ada potensi menang dan berani, semangat serta berkeyakinan.
“Kita bukan tidak mahu calon muda, boleh calon muda kita alu-alukan tetapi kalau boleh, kita mahu yang ada pengalaman sebab ini penting untuk seseorang calon yang menjadi wakil rakyat itu ada pengetahuan dan kredibiliti, kerana untuk berada di dewan atau parlimen kita perlu yang betul-betul ada wibawa.
“Kita tidak mahu calon umpama 'melepaskan batuk ditangga'...'ala masuk tanding sajalah sebab kena suruh, tanding sajalah,... dan seboleh-bolehnya kita mahu yang mampu bawa suara rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Wanita Komponen GRS di sini, Sabtu.
Azizah meluahkan keyakinan dengan potensi calon wanita yang mana dilihat ada beberapa individu, memiliki kriteria mampu untuk diangkat sebagai calon wakil rakyat wanita GRS.
“Di sini saya lihat ada yang menyerlah potensinya, saya yakin dalam kalangan ini ada yang sudah layak dan memenuhi kriteria seorang calon yang kita perlukan.
“Saya secara peribadi sudah pencen dari bidang ini, saya tidak lagi menjadi calon dan saya selesa bersama wanita GRS berkongsi pengalaman dan bekerja bersama untuk menjayakan misi parti,” katanya lagi.
Azizah juga berkata wanita GRS menyokong penuh usaha penambahan kerusi parlimen satu pertiga dan kutipan 40 peratus hasil dikembalikan kepada Sabah.
Beliau berkata, sehingga kini, Wanita GRS mempunyai hampir 18 ribu jentera wanita.
“Ini semua meliputi kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Rakyat (Dun). Untuk pengetahuan, jentera kita sudah mula bergerak di peringkat akar umbi dan kita nampak ada kemesraan antara semua jentera wanita kita.
“Ini sinonim dengan kita kerana kita adalah sebuah parti yang terdiri daripada pelbagai komponen dan kita mampu bekerjasama dan berkasih sayang melalui jalinan gerak kerja jentera,” tambahnya.