PUTATAN: Pelaksanaan program membasmi kemiskinan dalam Belanjawan 2025 sudah pasti akan memberi tumpuan kepada Sabah yang mempunyai lapan daripada 10 daerah termiskin di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau yakin keutamaan kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 adalah bagi mengerakkan program untuk memastikan jurang kemiskinan yang besar dapat dikurangkan.
Beliau berkata, dasar kerajaan perpaduan adalah untuk memastikan pembangunan yang seimbang di semua wilayah. Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup mementingkan usaha bagi membasmi kemiskinan.
“Jurang kemiskinan yang besar itu kebanyakannya di Sabah. Saya ingat lebih enam daripada 10 daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah, saya tak ingat jumlah sebenar tapi antaranya di Tongod, Pitas dan Kota Marudu.
“Jadi, usaha dan keutamaan-keutamaan kerajaan Persekutuan sudah tentu program dan sumber untuk mengerakkan program (membasmi kemiskinan) itu disalurkan ke tempat-tempat ini
“Walau macam mana pun keadaannya, Sabah sudah tentu akan terus mendapat tempat yang paling utama dari segi perbelanjaan Persekutuan,” katanya selepas Konvensyen Keadilan Menang Siri Pilihan Raya Umum ke-16 (Kemas16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25), di sini pada Sabtu.
Katanya, peruntukan dan pelaksanaan perlu diselaraskan agar dapat diuruskan dengan cepat dan baik supaya hasilnya dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya mahu apabila dana itu diperuntukkan kepada Sabah, program membasmi kemiskinan itu dapat berjalan dengan baik dan hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat.
“Jika tidak, kita akan secara berterusan menerima peruntukan namun, pelaksanaannya tidak diselaraskan. Pada akhirnya, rakyat tak boleh tunggu kalau kita tidak laksanakannya. Jadi, uruskan dengan cepat dan baik agar masalah sedia ada tidak menjadi lebih teruk,” katanya.