Kota Kinabalu: Pengurus pasukan Sabah FC, Rafie Robert, menafikan laporan bahawa pemain mereka terlibat dalam nahas pesawat seperti yang dilaporkan oleh portal berita dalam talian pada Sabtu (5 Oktober).
Laman Newstattion2 melaporkan bahawa pasukan tersebut dalam perjalanan untuk aksi di tempat lawan ketika tragedi itu berlaku, menyebabkan beberapa pemain utama dan pegawai pasukan maut.
Rafie menyeru orang ramai, terutamanya peminat bola sepak di Sabah, agar tidak mempercayai berita terbabit, yang beliau dakwa adalah cubaan untuk mengganggu persiapan pasukan bagi perlawanan liga akan datang.
Beliau berkata, laporan itu adalah berniat jahat dan bertujuan bukan sahaja untuk mengganggu pasukan, tetapi juga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengurusan dan penyokong.
Rafie
“Laporan itu tidak benar dan kami sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis tidak lama lagi supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak berulang pada masa hadapan.
“Pasukan sedang menjalani latihan untuk perlawanan persahabatan dengan Tawau FA pada 12 Oktober, dan kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan pemain kami.
“Beberapa pemain termasuk Stuart Wilkin, Dominic Tan, Daniel Ting, dan Darren Lok telah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium North Harbor, Auckland, pada 14 Oktober,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, pasukan wanita Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menerima pengajaran berharga dalam kejohanan sulung Liga Juara-Juara AFC Wanita pada Ahad.
Mereka dibelasah 0-7 oleh Wuhan Jianda dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang diadakan di Hankou Culture Sports Centre pada sebelah petang.
Sabah memulakan permainan dengan baik pada peringkat awal, dan pasukan tuan rumah mengalami kesukaran untuk menembusi pertahanan Sabah.
Bagaimanapun, perlawanan menjadi berat sebelah apabila Sabah melepaskan gol pertama, hasil jaringan Kabange Mupopo membolosi gawang Nurul Azurin Mazlan selepas menerima hantaran dari Deng Mengye pada minit ke-31.
Mereka menambah jaringan pada minit ke-39 apabila Song Duan menanduk bola melepasi Nurul Azurin yang keluar dari gawang, sebelum Deng menjaringkan gol ketiga pada minit ke-44, memberikan pasukan tuan rumah kelebihan tiga gol pada separuh masa pertama.
Selepas rehat, pemain Sabah tidak dapat menahan asakan pasukan lawan yang menghasilkan tiga gol dalam tempoh lima minit.
S. Traore membuka jaringan pada minit ke-53, diikuti gol kedua Deng dua minit kemudian, dan gol ketiga datang dari rembatan jarak jauh oleh Yao Wei pada minit ke-57. Deng melengkapkan hatriknya pada minit ke-81.
Ketua jurulatih Jusitn Ganai, mengakui selepas perlawanan bahawa Wuhan Jiangda terlalu kuat untuk mereka hadapi.
“Ia adalah pengalaman yang sangat baik untuk kami bermain menentang Wuhan Jiangda, yang merupakan pasukan yang sangat bagus. Kami bermain dengan baik selama 30 minit pertama dan cuba yang terbaik untuk mendapatkan gol awal, tetapi sebaik kami melepaskan gol pertama, nasib tidak menyebelahi kami,” katanya.
Sabah akan menamatkan perlawanan kumpulan mereka menentang Abu Dhabi Country Club (UAE) esok (Rabu).