Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
Naiktaraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM130 juta: Projek dijangka bermula awal tahun depan dan siap dalam tiga tahun
Published on: Tuesday, October 08, 2024
Published on: Tue, Oct 08, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:
Text:
Naiktaraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM130 juta: Projek dijangka bermula awal tahun depan dan siap dalam tiga tahun
LOKE (tengah) diberikan penerangan oleh Pengurus Lapangan Terbang Rehan Shafiq Datuk Azizan (kedua, kiri) mengenai operasi Lapangan Terbang Tawau sewaktu mengadakan lawatan kerja itu. – fotoBERNAMA
TAWAU: Lapangan Terbang Tawau (LTT) bakal berwajah baharu apabila kerajaan sudahpun meluluskan peruntukkan RM130 juta untuk projek menaiktaraf prasarana itu, yang dijangka bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sudah menyenarai-pendek 16 syarikat untuk dinilai dan proses lantikan kontraktor utama bakal dimuktamadkan menjelang awal 2025.

Advertisement
“Kita mengharapkan projek ini dapat dimulakan awal tahun hadapan (selepas kontraktor utama dimuktamadkan),”katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Tawau bagi meninjau projek cadangan menaik-taraf LTT, pada Isnin.

Menurutnya, projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan apabila siap kelak, kapasiti LTT akan meningkat kepada 2.5 juta penumpang setahun, berbanding 1.5 juta ketika ini, malah kawasannya akan diperluaskan hampir 50 peratus di sebelah kanan dan kiri bangunan terminal.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Selain itu, katanya, bangunan terminal akan turut diubah suai bagi mengindahkan lagi kawasan dalaman bangunan sedia ada memandangkan terminal sudah usang, lama dan keadaannya tidak begitu baik serta kemudahannya juga perlu ditambah baik demi meningkatkan imej LTT.

Katanya, kaunter daftar masuk juga bakal ditambah menjadi 20 berbanding 12, malah akan berubah wajah menjadi terminal berhawa dingin sepenuhnya berbanding ketika ini yang hanya beberapa kawasan mempunyai kemudahan tersebut.

Advertisement
Loke berkata, projek berkenaan mendapat kelulusan jemaah menteri kerana kapasiti asal LTT hanya mampu memuatkan 1.5 juta penumpang setahun iaitu purata 400 penumpang pada satu jam waktu kemuncak, namun, penumpang yang dikendalikan lebih daripada itu.

“Misalnya, tahun 2023, LTT mencatatkan 1.71 juta penumpang yang sudah melebihi kapasiti sedia ada dan kita menjangkakan jumlah pertumbuhan penumpang akan lebih tinggi pada tahun ini kerana sektor pelancongan sudah kembali pulih.

Advertisement
“Selain itu, banyak penerbangan secara terus daripada China ke Tawau iaitu Batik Air dan Firefly… Jadi, kita menjangkakan pertumbuhan penumpang akan lebih baik dari tahun lepas dan sudah pasti kapasiti LTT tidak mencukupi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan bersetuju untuk menaiktaraf LTT kerana melihat potensi peningkatan pergerakan kargo, khususnya produk-produk segar seperti makanan laut dan sebagainya apabila tahun lepas mereka mengendalikan 13,000 metrik tan kargo berbanding sekitar 4,000 metrik tan pada 2019.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pihaknya sudahpun mengarahkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) mengambil langkah segera sebagai penyelesaian jangka pendek terhadap isu-isu yang berlaku di LTT memandangkan projek tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk disiapkan.

“Pertama, menambah penyejuk udara (air cooler) di kawasan tumpuan ramai seperti ruang menunggu, kawasan daftar masuk dan Imigresen untuk memberi keselesaan kepada penumpang, dan kedua, menambah papan tanda supaya lebih jelas kepada penumpang asing,” katanya.

Ini kerana, katanya, ramai penumpang luar negara bukan hanya memerlukan Bahasa Inggeris tetapi juga bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab bagi dapat membantu pelancong luar negara yang menggunakan LTT.

Selain itu, katanya, pegawai perkhidmatan pelanggan yang memakai selempang ‘I can help you’ dalam pelbagai bahasa seperti terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan turut ditempatkan di LTT.

Berkenaan status LTT sebagai terminal antarabangsa apabila projek itu siap kelak, Loke berkata perkara tersebut akan melalui prosesnya pada masa hadapan kerana memerlukan beberapa penambahbaikan.

Namun, ketika ini, katanya, LTT sudahpun mampu mengendalikan penerbangan antarabangsa seperti China dan Macau walaupun belum berstatus terminal antarabangsa.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan syarikat penerbangan yang hendak melakukan penerbangan di destinasi tertentu, termasuk Tawau - Makasar, Indonesia, namun, buat masa ini kapasiti dihadkan kerana isu kesesakan yang berlaku di LTT.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah meminta MAHB untuk mengatur semula jadual mengikut permintaan, jika ada ruang kepada penerbangan tambahan, tetapi hendaklah dipastikan tidak berlaku pertembungan jadual sedia ada bagi mengelak kesesakan.

Beliau juga menyatakan kertas cadangan bagi projek menaik-taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) juga kini di peringkat kementerian beliau, dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri tidak lama lagi.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here