TAWAU: Empat suspek, termasuk dua wanita, yang disyaki terlibat kes kecurian barang kemas bernilai RM45,000 di Jalan OKK Abu Bakar pada 1 Oktober lalu, diberkas polis dalam tangkapan berasingan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, barangan kemas milik seorang lelaki, 31, yang diletakkannya di dalam kereta sebelum didapati hilang, dipercayai dicuri individu tidak dikenali.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis apabila mendapati seutas gelang tangan emas, seutas rantai emas dan sebiji buah rantai emas dianggarkan bernilai RM45,000, hilang dari keretanya,” katanya.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menangkap kesemua suspek yang disyaki terlibat kes tersebut.
Katanya, suspek pertama lelaki berumur 42 tahun ditahan di tepi jalan Kg Pukat, Tanjung Batu Laut pada jam 6 pagi dan membawa kepada tangkapan suspek kedua, seorang wanita, 30, di Hospital Tawau pada jam 1.30 petang.
“Manakala, suspek ketiga yang juga seorang wanita, 28, ditangkap di Kg Pukat, Jalan Tanjung Batu Laut sekitar jam 3 petang pada hari yang sama.
“Hasil penahanan wanita itu, seorang lagi suspek lelaki, 32, ditahan di sekitar Hospital Tawau pada jam 6 petang,” katanya dalam kenyataan mdia, pada Rabu.
Jasmin berkata, kesemua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.