Kota Kinabalu: Yang Di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin memberikan sumbangan kepada Crisnanalina Jumis yang berasal dari Paitan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut kenyataan dari Istana Negeri, di samping sumbangan bantuan komputer riba dan bantuan perbelanjaan bagi persiapan Crisnanalina untuk mendaftar di UMS, Juhar juga akan membantu menyelesaikan yuran pendaftaran kemasukan beliau ke UMS.
“Bantuan ini adalah sumbangan prihatin daripada Tun Juhar yang mahu Crisnanalina menerima kemudahan secukupnya bagi membolehkannya menyambung pengajian ke universiti.
Laporan Daily Express sebelum ini.
“Sebagai Canselor UMS, perkara berkaitan kebajikan pelajar khususnya amat dekat di hati Tun Juhar, justeru bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban serta menguatkan semangat Crisnanalina untuk menempuh kehidupan sepanjang berada dalam pengajian,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Daily Express melaporkan Crisnanalina yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran serta pelbagai perbelanjaan yang berkaitan, dan memohon bantuan dari pelbagai pihak bagi membolehkan beliau mendaftar dan memulakan pengajian.
Susulan itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.