Kota Kinabalu: Penjara Pusat Kota Kinabalu dijangka antara penjara di Sabah yang akan terpilih untuk pelaksanaan sekolah tahfiz yang ketika ini berjaya dilaksanakan di tiga negeri lain.
Timbalan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Jaini Ayong Rajawa berkata, walaupun belum ditentukan bila ia dilaksanakan namun hasrat untuk memperluaskan sekolah tahfiz dalam penjara di Sabah akan direalisasikan di negeri ini.
“Untuk Sabah, kalau tidak silap saya, Penjara Pusat juga mungkin antara yang dipilih. Cuma masa pelaksanaannya, kita belum dapat maklumat yang terperinci daripada pihak pengurusan tertinggi.
“Jika kita terpilih, bila-bila masa kita bersedia untuk melaksanakan program tersebut kerana ia adalah program yang kita anggap berterusan untuk penghuni beragama Islam di dalam penjara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penangguhan Bengkel Pemantapan Akidah di surau Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, Khamis lalu.
Untuk rekod, sekolah tahfiz dalam penjara ketika ini sudah dilaksanakan di Kluang, Johor, Kajang Selangor dan Machang, Kelantan.
Mengulas mengenai program itu, Jaini Ayong berkata, seramai 50 prospek terdiri daripada penghuni penjara terlibat dalam bengkel pemantapan akidah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah.
“Secara keseluruhan sebenarnya sudah lebih 300 prospek telah menyertai pelbagai program yang dianjurkan bersama Jakim Sabah dan ini merupakan program ke sembilan pada tahun ini.
“Jadi kita mengharapkan lebih ramai lagi prospek terlibat program berbentuk keagamaan pada masa akan datang.
“Walaupun tenaga pengajar kita tidak begitu ramai tetapi dengan adanya sokongan daripada pihak lain, mungkin akan ada banyak lagi program lain yang akan diadakan dan seterusnya memberi manfaat kepada penghuni di penjara ini.”
Sementara itu, Pengarah Jakim Sabah, Datuk Norjeli Dais yang merasmikan program tersebut menyambut baik cadangan pengwujudan sekolah tahfiz dalam institusi penjara di negeri ini.
“Kita juga memang menginginkan perkara itu sebab ini adalah satu-satu peluang kepada penjara dan prospek untuk memanfaatkan sesuatu yang baik untuk dilaksanakan.
“Untuk proses perlaksanaan, kita akan bincang balik bagaimana bentuk perlaksanaannya,” katanya.