TAWAU: Enam individu ditahan bersama RM1.4 juta wang tunai dipercayai berkaitan aktiviti haram dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) daerah, yang dikoordinasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada Jumaat.
Komander Esscom DCP Datuk Victor Sanjos berkata, individu berusia antara 40 hingga 47 tahun itu ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas semasa operasi tersebut yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, membabitkan 84 pegawai dan anggota.
Katanya, Op JRS Esscom tersebut menyasarkan sembilan premis di daerah ini yang bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.
“Objektif utama operasi adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone),” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Victor berkata, Esscom komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, terutamanya di Esszone, bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia Madani dicapai.
Katanya, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah Esszone, bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di Esszone ke Pusat Operasi Esscom pada talian 089-863181 atau melalui WhatsApp 011-63311072.