Kota Kinabalu: Bandaraya ini bakal menjadi venue Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober ini, yang akan diadakan di pekarangan Stadium Likas, di sini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program berbentuk ‘sentuhan rakyat’ itu adalah kesinambungan daripada lima acara sama di lima zon sebelum ini.
Katanya, PMR telah bermula di Zon Tengah iaitu Selangor sebelum diteruskan di Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor, Zon Sarawak di Miri, baru-baru ini.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah peneraju PMR bagi Zon Sabah dan akan berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri dan beberapa agensi kerajaan persekutuan.
“Perasmian PMR bertemakan ‘Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna’ ini akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober jam 2.30 petang.
“Objektif PMR adalah untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang dasar, polisi dan inisiatif serta program-program termasuk inisiatif-inisiatif baharu yang dibawa Kerajaan Madani.
“Kedua, kita membawa, menawarkan perkhidmatan agensi kerajaan secara langsung dan secara bersemuka kepada rakyat,” katanya pada sidang media semasa melawat tapak PMR, di sini, Sabtu.
Armizan berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 400,000 pengunjung pada PMR kali ini sekali gus mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik ditawarkan.
Katanya, KPDN turut menyediakan pelbagai aktiviti utama antaranya Jualan Rahmah Madani Premium, Kempen Belia Barangan Malaysia, pavilion pameran dan banyak lagi acara menarik.
“Selain agensi kerajaan, terdapat juga ruangan pameran untuk syarikat-syarikat swasta termasuk jualan pelbagai produk usahawan-usahawan tempatan, sekali gus membantu promosi produk mereka.
“Kita juga telah berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi penyediaan perkhidmatan bas shuttle untuk membawa pengunjung ke PMR ini, justeru orang ramai dijemput hadir untuk bersama meriahkan acara ini,” katanya.