Kota Kinabalu: Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) menafikan dakwaan berlaku aktiviti pembalakan haram di negeri ini seperti dilaporkan dalam dua artikel Sarawak Report baru-baru ini.
Artikel itu ialah ‘Illegal Logging In Sabah’ yang diterbitkan pada 1 Disember dan “Sabah Forestry Admits Log Extraction and Export – Says Timber is Disease Ridden” pada 3 Disember oleh Sarawak Report.
Dalam satu kenyataannya di sini, pada Jumaat, Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan berkata artikel kedua itu telah secara silap memetik kenyataan akhbar yang dikeluarkan jabatan berkenaan.
“Ini tindakan tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat jahat. Jabatan Perhutanan Sabah akan membuat laporan polis tidak lama lagi,” katanya.
“Dalam artikel pertama, dakwaan Sarawak Report bahawa kayu balak dikeluarkan tanpa bayaran yang sepatutnya adalah tidak betul.
“SFD selama ini mengutip royalti bagi pengeluaran pokok Acacia mangium mengikut Peraturan Hutan 1969.
“Mengenai isu wabak penyakit Ceratocystis, SFD melalui penyelarasan dengan Yayasan Sabah, mengambil langkah untuk membendung dan menghapuskan ancaman yang dicetuskan oleh penyakit itu.”
Beliau berkata isu berkenaan telah dibincangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada November lepas.