Kota Kinabalu: Seorang eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) berusia 48 tahun dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan memalsukan dokumen yang menyatakan baki tunai pejabat berjumlah RM590,188.05.
Hakim Mahkamah Sesyen Ellyne Nerrisa membebaskan Suzelah Maidin daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.
Dalam keputusannya yang dibacakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, Ellyne memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Suzelah.
Suzelah didakwa memalsukan dokumen yang merupakan maklumat Peti Besi Lembaga Tabung Haji Pusat yang menyatakan baki wang tunai milik pejabat itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.47 petang pada 9 Mac 2020 di Lembaga Tabung Haji Sabah di Jalan Sembulan, di sini.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan telah memanggil tiga saksi semasa perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Alya mengendalikan pendakwaan manakala peguam Datuk Ansari Abdullah mewakili Suzelah.