Advertisement
SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Advertisement
FARIZ berkata isterinya banyak membantu dalam perkara yang sukar untuk dilakukannya sebagai pengguna kerusi roda.
“Bila kali terakhir kita dengar wujudnya program yang menyokong atau meraikan pasangan OKU dan penjaga OKU?” soalnya. Berkahwin dengan pasangan bukan OKU, Fariz berkata masih wujud stereotaip masyarakat yang tidak dapat memahami bagaimana seorang wanita boleh berkahwin dengan OKU tanpa merasa beban dan kesusahan. Namun, dia yang berasal dari Kota Kinabalu, berkata perkahwinannya berjalan seperti pasangan lain, dengan pembahagian tugas mengikut kemampuan masing-masing. “Isteri saya banyak membantu dalam perkara yang sukar untuk saya lakukan sebagai pengguna kerusi roda, seperti mengangkat barang berat, mengambil barang di tempat tinggi, atau membantu saya di kawasan yang kurang mesra OKU. “Saya pula memainkan peranan dalam tugasan lain yang sesuai dengan keterbatasan saya, seperti memandu kereta, membasuh dan melipat pakaian, serta kerja-kerja lain yang mampu saya lakukan. “Dari segi emosi, tiada beza dengan orang lain. Kami sentiasa memberi sokongan emosi antara satu sama lain, terutama dalam aspek pekerjaan yang kami lakukan,” katanya. Fariz, yang sudah sedekad mendirikan rumah tangga, berpandangan bahawa perkahwinan antara individu OKU dan pasangan bukan OKU tidak banyak bezanya dengan perkahwinan pasangan lain. “Isu dan cabaran yang dihadapi tetap sama. Malah, kadangkala pasangan OKU menjalani kehidupan berkeluarga yang lebih baik daripada pasangan biasa kerana mereka saling menerima dan memahami keterbatasan masing-masing,” katanya. “Cuma peratusan OKU yang berkahwin masih rendah akibat stereotaip mengenai keupayaan individu OKU untuk membina kehidupan berkeluarga.” Justeru, katanya, bantuan luaran, perubahan pemikiran masyarakat, serta penyesuaian persekitaran adalah faktor penting untuk membolehkan pasangan OKU menguruskan tanggungjawab rumah tangga. “Tidak dinafikan, pasangan OKU masih memerlukan sokongan tambahan daripada komuniti, khasnya pihak berkuasa, dalam menghadapi cabaran hidup berkeluarga dari aspek ekonomi dan peluang yang sama rata. “Pasangan OKU sudah tentu memiliki kos perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding pasangan bukan OKU, terutamanya untuk keperluan berkaitan kekurangupayaan (impairment) mereka. Ini termasuk perbelanjaan perubatan. “Peralatan yang mencecah belasan ribu ringgit dan keperluan ubat-ubatan untuk mengoptimumkan fungsi badan memberikan beban tambahan yang tidak dialami oleh pasangan biasa. “Satu mekanisme baharu dalam sistem bantuan OKU di Malaysia harus dirombak ke arah yang lebih realistik, dengan berpindah daripada pemikiran Pendekatan Kebajikan (Welfare Approach) kepada Pendekatan Kemampuan (Capability Approach),” katanya. Berdepan situasi cemas Sementara itu, situasi berbeza pula dihadapi oleh ibu bapa OKU yang perlu menjaga anak OKU. Hamidah Hassan, 49, seorang OKU fizikal dan ibu tunggal, berdepan banyak situasi cemas dalam menjaga anaknya yang berumur 16 tahun dan menghidap autisme. Pernah kehilangan anak di kompleks membeli-belah, menghadapi cabaran ‘tantrum’ dan ‘meltdown’ yang hampir menyebabkan kemalangan jalan raya kerana anaknya ingin memberitahunya bahawa dia dibuli teruk di sekolah, adalah antara pengalaman yang dihadapi Hamidah.
HAMIDAH (tengah) membuktikan dia mampu berjaya walaupun berkerusi roda dan perlu menjaga anak lelakinya yang juga OKU autisme (kiri).
Hamidah yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan, Wanita dan Keluarga itu berkata dengan keadaan dirinya yang berkerusi roda, ia memerlukan perancangan rapi dan kreativiti dalam menjalankan tugas fizikal atau menghantar anak ke sekolah. “Biasanya, saya akan merancang jadual seharian lebih awal, bangun awal untuk memasak, menyediakan sarapan dan bekal, beribadah, dan seterusnya keluar bekerja. “Saya belajar untuk berdikari dan memandu kereta yang diubahsuai untuk kegunaan tangan, membolehkan saya aktif seperti individu bukan OKU. “Penting bagi saya untuk mempunyai kerusi roda yang ringan dan mudah alih untuk memudahkan pergerakan dan urusan saya ke sana sini, baik dalam menguruskan anak, tugasan di pejabat, ataupun kerja rumah seperti mencuci kain dan membersihkan rumah pada waktu malam dan hujung minggu. “Sekiranya jadual kerja terlalu sibuk, saya akan memanggil orang untuk membersihkan rumah. Semua ini boleh dilakukan dengan perancangan dan kreativiti mengikut kapasiti diri, di samping menggunakan sumber-sumber sedia ada di sekeliling saya. “Anak sulung saya juga membantu pada hujung minggu sekiranya dia balik daripada asrama untuk membeli barang keperluan mingguan. Sekiranya tidak, Grab juga boleh digunakan untuk membuat pembelian,” katanya. Gembira dapat melihat anaknya membesar di hadapan mata, Hamidah berkata masih ramai tidak memahami tentang karakter OKU autisme. “Masyarakat menganggap autisme adalah penyakit yang boleh dipulihkan, sedangkan ia adalah satu proses seumur hidup dan ciri-ciri ini boleh dikurangkan tetapi tidak akan hilang sepenuhnya. “Setiap tahap umur dan perkembangan ada cabaran tersendiri. Zaman kanak-kanak atau remaja, ia juga berbeza mengikut individu. Tidak boleh dipukul rata,” katanya. Hamidah turut menolak persepsi masyarakat yang merendahkan keupayaan seorang OKU seperti dirinya untuk menjadi ibu, isteri, atau pekerja dengan jawatan yang stabil. “Masyarakat sering beranggapan bahawa OKU hanya duduk di rumah, tidak mampu memandu, dan terbatas dalam banyak perkara. “Namun, saya berjaya membuktikan bahawa tanggapan tersebut salah sama sekali,” tegasnya yang menjadi ibu tunggal selepas pemergian suami tersayang pada 2013. Pun begitu, perjalanan ini tidak semestinya tanpa cabaran. Menurutnya, salah satu kesukaran terbesar adalah mencari sekolah swasta yang sesuai untuk anaknya, terutamanya kerana kebanyakan institusi ini mengenakan yuran yang sangat mahal. “Setelah mendapati sekolah yang saya hantar tidak mampu memberikan perlindungan dan terapi yang diharapkan, saya terpaksa membawa anak saya ke pejabat setiap hari di bawah jagaan saya. “Jika saya perlu menghadiri mesyuarat luar atau tugasan di lapangan, saya akan mengupah penjaga separuh masa (carer part-timer) untuk menemani anak saya,” jelasnya. Kata wanita cekal yang berasal dari Tuaran ini, sistem penjaga atau pembantu peribadi (PA) adalah sokongan yang sangat penting pada masa ini untuk anaknya selain bantuan yuran bagi mendapatkan pendidikan yang baik. “Kebanyakan pusat pendidikan khas untuk autisme memerlukan kos puluhan ribu ringgit, yang pastinya di luar kemampuan ramai ibu bapa. Oleh itu, buat masa ini, ‘carer’ adalah pilihan yang lebih realistik bagi kami,” tambahnya. Beliau turut berharap agar masyarakat lebih cakna, memahami, dan menyokong kehidupan golongan OKU yang berhadapan pelbagai cabaran. “Sebagai OKU fizikal yang membesarkan anak dengan autisme, saya sering berhadapan dengan stereotaip. Namun, saya percaya dengan sokongan yang betul, kami mampu menjalani kehidupan yang bermakna.”



.png)



