SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan sebuah kapal kargo tempatan yang membawa muatan minyak petrol bersubsidi sebanyak 111,391 liter, bernilai RM228,351.55 termasuk cukai, yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran baru-baru ini.
Penolong Ketua Pangarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, kapal kargo itu ditahan di perairan Sandakan pada 19 November kira-kira jam 7.48 malam.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang disalurkan dari Cawangan Risikan Zon Sabah, pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota kastam Cawangan Penguatkuasaan Lahad Datu dan Sandakan telah membuat serbuan ke atas kapal kargo itu.
“Hasil pemeriksaan awal, pasukan serbuan menjumpai sejumlah 111,391 liter minyak petrol dalam tangki dibuat khas di kapal itu. Seorang juragan kapal warga tempatan juga ditahan bagi membantu siasatan.
“Kapal itu telah disita dan kita sedang lakukan siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Pejabat Marin Kastam, JKDM Sandakan, Selasa.
Jumlah rampasan keseluruhan termasuk kapal itu dianggarkan bernilai RM545,186.15.
“Kita akan terus berusaha memastikan tiada ketirisan berlaku khasnya minyak petrol bersubsidi yang pada dasarnya untuk kegunaan warga negara ini.
“Kita juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membanteras perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyeludup atau membawa keluar minyak petrol bersubsidi seumpama ini,” tambahnya.
Beliau juga menyeru kepada orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.