Jetama Sdn Bhd (JSB), sebuah anak syarikat Sabah Development Berhad (SDB) di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah, kini menerajui usaha baharu dengan memperkenalkan teknologi “EFB as Biomass Feedstock” untuk penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
Melalui Program Seminar AKAS 1974: Kelestarian Alam Teras MADANI yang berlangsung pada 10 dan 11 Disember 2024 di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Jetama telah memperkenalkan satu teknologi inovatif yang mampu meningkatkan penggunaan biojisim kelapa sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
Pada hari pertama seminar tersebut, YBhg. Datuk Nor Yahati Binti Awang, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) telah merasmikan seminar tersebut.
Beliau turut berpeluang melawat sudut pameran Jetama di mana pelbagai maklumat berkaitan teknologi inovatif baharu ini dipamerkan.
Menurut Datuk Ahmad Naim Uddang, Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, inisiatif ini merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah.
Ia berpotensi besar dalam membantu kerajaan negeri mencapai matlamat kelestarian alam sekitar, terutamanya dalam sektor tenaga melalui industri kelapa sawit.
Tandan kosong kelapa sawit (EFB), yang merupakan sisa buangan daripada kilang pemprosesan kelapa sawit digunakan sebagai bahan asas dalam teknologi ini.
Melalui proses gasifikasi, gas yang dihasilkan akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik.
Selain itu, proses ini turut menghasilkan produk sampingan iaitu Biochar bahan organik yang mempunyai pelbagai kegunaan, terutamanya dalam sektor pertanian.
JETAMA yakin bahawa usaha ini bukan sahaja mampu memanfaatkan industri tenaga boleh diperbaharui di Sabah, malah dapat menyumbang kepada matlamat kelestarian alam yang lebih luas.