Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 30 tahun yang didakwa mendera dua anaknya akan dibicarakan pada 26-27 Februari 2025.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh terbabit untuk Aifa Mualil, yang kesnya dibawa untuk pengurusan kes.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa kira-kira lima saksi akan dipanggil semasa perbicaraan.
Bagi pertuduhan pertama, Aifa dituduh mendera anak lelakinya yang berusia sembilan tahun dengan memukul dan merotannya sehingga menyebabkan lebam di paha serta parut di bahagian belakangnya.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendera anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dengan memukul dan merotan sehingga menyebabkan lebam di bahagian muka kanan serta parut di bahagian belakangnya.
Kejadian itu didakwa berlaku jam 1 pagi, 30 September tahun ini di sebuah rumah kongsi di Jalan Lintas, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu tarikh perbicaraan, Aifa diperintah supaya direman lanjut.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim tampil untuk pendakwaan manakala Aifa, yang memegang dokumen IMM13, tidak diwakili.