RANAU: Tiga pekerja kontraktor maut akibat terkena renjatan ketika melakukan kerja-kerja pemasangan lampu solar di pekarangan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) sini, kira-kira 10.40 pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib memaklumkan mangsa dikenali sebagai Gimbal, 25, Salleh, 34, dan Wong, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan.
“Kami menerima panggilan pada jam 10.46 pagi menerusi talian MERS999 mengenai kejadian itu, dan sepasukan tujuh anggota yang diketuai oleh saya sendiri dan Komander Operasi PBKII Mastin Suli bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi yang terletak 1 kilometer dari balai, kami mendapati terdapat empat pekerja kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan lampu solar di JKR Ranau, di mana tiga mangsa terkena renjatan dan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi tidak cedera,” katanya, menambah pekerja lelaki terselamat itu dikenali sebagai Dani berusia 20an.
“Siasatan awal mendapati dua pekerja itu sedang memasang panel solar, apabila salah satu panel berkenaan tersentuh kabel aktif dan menyebabkan dua pekerja itu terkena renjatan sebelum rebah ke tanah.
“Seorang lagi pekerja dipercayai penyelia cuba memeriksa kedua-dua mangsa, namun turut terkena renjatan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya memindahkan mayat mangsa ke tempat selamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan kira-kira jam 12.03 tengah hari.
Turut hadir, lima kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd, lapan anggota polis dan tiga kakitangan perubatan.