PAPAR: Pantai Manis kini mempunyai 85 cawangan dengan keahlian melebihi 5,000 ahli, dengan penubuhan cawangan PGRS Seri Takis baru-baru ini.
Cawangan baharu itu adalah hasil gabungan ‘serpihan’ dari parti Warisan dan Umno.
Penubuhan cawangan dianggotai 43 orang ini disempurnakan dengan penyerahan borang keahlian kepada Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pantai Manis, Datuk Pg Saifuddin Tahir di sebuah Program Santai Bersama Pemimpin PGRS Pantai Manis, di sini, baru-baru ini.
Borang keahlian diserahkan oleh Ketua Cawangan Seri Takis, Pengiran Fuad Hj Pengiran Razak kepada Saifuddin.
Turut hadir Naib Ketua Bahagian PGRS Pantai Manis, Rahman Latip; Ketua Wanita PGRS Pantai Manis, Mazrah Mahali,; Ketua Beliawanis PGRS Pantai Manis, Shaza Elfeera; dan AJK Pemuda Bahagian, Saufi Hj Amri.
Terdahulu, pada 6 Dis lepas, program sama diadakan di Kampung Sungai Padang dan dihadiri oleh Ketua Bahagian PGRS Pantai Manis, Datuk Seri Rahim Ismail serta barisan pimpinan PGRS Pantai Manis. Program tersebut turut dihadiri oleh Fairoz Yahya, yang mewakili Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.