TAWAU: Isu sekolah daif dan keciciran murid di negeri ini akan diberi perhatian khusus tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ruji Ubi.
Menurutnya, beberapa projek pembinaan sekolah daif, termasuk di Tawau akan diselesaikan mengikut peruntukan yang sudahpun diluluskan tahun hadapan.
Kementerian juga akan memastikan isu keciciran murid, khususnya yang tidak ke sekolah atau tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat ditangani dari semasa ke semasa.
“Isu keciciran murid ini berlaku di mana-mana, khususnya di Tawau dan perkara itu akan diberi perhatian bersama dari pasukan Kementerian,” katanya kepada media selepas merasmikan program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) 3.0 di SK Sungai Haji Matahir, di sini, pada Sabtu.
Sekolah berkenaan kini menjadi sekolah digital sepenuhnya apabila dibekalkan peralatan kemudahan murid dan guru serta alat bantuan mengajar ‘Smart Board’.
Ruji berkata, murid-murid sekolah berkenaan juga akan diberikan bantuan tuisyen daripada Institusi Perguruan Tawau.
Beliau berharap, dua inisiatif tersebut iaitu menyediakan alat pengajaran dan pembelajaran untuk guru dan murid serta bantuan tuisyen akan dapat meningkatkan lagi tahap pencapaian akademik sekolah.
Dalam ucapannya, beliau menyeru semua pihak untuk menyokong usaha KPM dalam menjadikan pendidikan sebagai kunci untuk mengubah kehidupan masyarakat ke arah lebih baik.
Beliau yakin dengan pelancaran SK Sungai Haji Matahir sebagai sekolah digital sepenuhnya, pelajar mendapat akses kepada pelbagai sumber pendidikan moden yang akan membantu meningkatkan mutu pembelajaran mereka.
Menyentuh program itu, Ruji berkata Santuni Madani bertujuan untuk mewujudkan sinergi di antara pemimpin setempat dan penduduk bagi mencapai matlamat pembangunan pendidikan dan komuniti.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Apresiasi 8.0 Kolej PraUniversiti Tawau yang menyaksikan seramai 429 pelajar semester tiga menerima sijil masing-masing.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian sedang memperkasakan pelajar Tingkatan Enam menerusi pembinaan tiga lagi Kolej Tingkatan Enam di negara ini pada 2025 seperti diumum Perdana Menteri.