TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin melepaskan tanpa membebaskan dua lelaki tempatan daripada tuduhan mengedar 90.46g dadah jenis Methaphetamine selepas mahkamah menerima dan meluluskan surat representasi peguambela dengan melampirkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) tempat kejadian serta tangkapan.
Hakim Datuk Duncan Sikodol turut membenarkan pertuduhan ke atas Alvedo Jhon, 36, dan Mohd Azhar Syah Rosliansa, 25, ditarik balik dan tiada perbicaraan kes susulan penerimaan surat representasi yang dihantar peguambela tertuduh pertama kepada pihak pendakwaan.
Peguambela Abdul Gani Zelika menghantar surat representasi bertarikh 11 Julai 2024 dan diterima pihak Jabatan Peguam Negeri Sabah pada 12 Julai 2024 yang memohon agar kertas pertuduhan ke atas anak guamnya ditarik balik.
Pihaknya turut melampirkan dua video rakaman CCTV di lokasi kejadian yang mendapati tiada penemuan dadah mahupun barang terlarang dalam milikan anak guamnya semasa tangkapan dilakukan.
Terdahulu, Alvedo dan Azhar Syah yang merupakan penganggur didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 90.46g di kawasan parkir tepi jalan Lorong Puncak Palma 5A, Taman Palma Height, Lahad Datu jam 10.30 pagi pada 11 Julai 2023.
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Kes itu sebelum ini disebut lapan kali di Mahkamah Tinggi iaitu pertama kali pada 16 November 2023 di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suhailla Selag dan kemudiannya di hadapan Duncan bermula 17 Julai 2024.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nur Nisla Abdul Latif menjalankan pendakwaan, manakala, tertuduh kedua, diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.