Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras dan ayam sejuk beku bernilai RM1.32 juta melalui empat serbuan berasingan baru-baru ini.
Penolong Pengarah Kastam Sabah Siti Mang, berkata sebanyak 7,010 karton pelbagai jenis bir yang diisytiharkan sebagai barangan rumah dirampas di Pelabuhan Sepanggar sejak 12 November lalu.
“Rampasan pertama membabitkan 2,500 karton Hellsegga Beer bernilai RM376,233.
“Kes kedua pada 20 November menyaksikan rampasan 2,010 karton Chivas Regal Whiskey dan Anchor Beer bernilai RM292,087.
“Pada 3 Disember, penguat kuasa Kastam merampas 2,500 karton Carlsberg Beer bernilai RM297,676.
“Ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dengan modus operandi mengimport barangan haram menggunakan deklarasi palsu,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, Jalan Sulaman, Selasa.
Sementara itu, sebanyak 2.8 tan ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari sebuah negara Eropah tanpa permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut dirampas pada 6 Disember lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut akta yang sama, di mana pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan atau RM100,000, dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau RM500,000.
“Pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Kegiatan penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil pendapatan tetapi juga mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai dinasihatkan agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855. Identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya memberi jaminan.
Dalam kes berasingan pada 4 Disember lalu, Siti berkata penguat kuasa Kastam mengesan sebuah bot laju mencurigakan yang membawa 504 liter petrol dipercayai untuk diseludup keluar ke Filipina.
“Bagaimanapun, suspek melarikan diri ke perairan cetek, meninggalkan barangan termasuk bot yang keseluruhannya bernilai RM23,548,” katanya, menambah kes juga disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.