RANAU: Satu lagi gempa bumi lemah dengan magnitud 3.1 pada skala Richter melanda daerah ini jam 10.01 pagi, Selasa.
Ini adalah kejadian kedua selepas Isnin, apabila gempa bumi lemah dengan magnitud 2.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di daerah itu jam 2.56 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata gempa bumi pada Selasa, yaberlaku 14 kilometer di barat Ranau pada kedalaman 10 kilometer, menyebabkan gegaran di daerah itu.
“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau situasi ini,” menurut kenyataan tersebut.
Seorang jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ketika dihubungi, berkata pihak jabatan menyedari kejadian terbabit dan setakat ini tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kerosakan atau kemusnahan harta benda daripada orang awam.
Katanya, rondaan yang dilakukan di sekitar kawasan pekan Ranau, termasuk SMK Ranau, SMK Mat Salleh dan SMK Kundasang, mendapati keadaan terkawal.