Kota Kinabalu: Seorang pemandu lori berusia 52 tahun yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua kali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki itu yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapanya pada Khamis.
Lelaki itu melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dan lima bulan itu dengan mencium pipi dan mulutnya pada 7.30 malam pada 28 Nov tahun ini di tepi jalan simpang ke sebuah kampung di Papar.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dan beberapa faktor.
Beliau menyedari kes seperti ini semakin meningkat.
“Mahkamah ini dihujani dengan kes sebegini,” kata mahkamah sambil menambah hukuman yang dikenakan ke atas lelaki itu, boleh memberi amaran dan pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi orang ramai secara umum.
Semasa mitigasi, lelaki itu meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai seorang anak dan seorang ibu untuk dijaga.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan dengan berhujah ia merupakan kesalahan serius dan sangat berleluasa pada masa kini.
Beliau berkata mahkamah juga perlu mempertimbangkan trauma yang dialami mangsa akibat kejadian itu.