Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatur pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 untuk menjadikan Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud sebagai Ketua Menteri.
Timbalan Pengerusi PKR Sabah Datuk Peto Galim menjelaskan bahawa pelantikan itu dibuat mengikut Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah, yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk melantik Yang di-Pertua Negeri selepas berunding dengan Ketua Menteri.
“Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dan proses yang dijalankan mengikut peruntukan terbabit. Ini adalah isu undang-undang dan tidak seharusnya dipolitikkan,” kata Peto dalam sidang akhbar di pejabat PKR di Suria Inanam, Khamis.
Turut hadir Ketua Penerangan Razeef Rakimin dan Timbalan Pengarah Komunikasi Fekirie Gobet.
Peto berkata, proses pelantikan itu dilakukan dengan sewajarnya dan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan.
“Di PKR, kami menyokong kepimpinan ini. Selagi Perlembagaan diikuti, tidak ada alasan untuk membuat bantahan.”
Sementara itu, Razeef mengecam tuduhan oleh beberapa pemimpin politik di Semenanjung Malaysia berhubung pelantikan itu dan mengkritik penyebaran video yang mendakwa pelantikan itu sebahagian daripada rancangan Anwar untuk kepentingan politik peribadi.
“Tuduhan ini tidak berasas dan berniat jahat, bertujuan mencemarkan nama baik Perdana Menteri dengan mendakwa beliau campur tangan atau menyalahgunakan kuasanya dalam pelantikan itu,” kata Razeef.
Katanya, tuduhan itu bertujuan untuk merenggangkan hubungan PKR dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional.
“Pelantikan seorang Perdana Menteri atau mana-mana pemimpin politik adalah proses yang dijalankan selepas pilihan raya dan dengan perundingan bersama rakan gabungan.
“Selain itu, Mustapha bukanlah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, yang menjadikan dakwaan itu sama sekali tidak berasas,” katanya.
Razeef menggesa orang ramai agar berfikiran terbuka dan menerima Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri yang baharu, memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan kebolehan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
PKR turut merakamkan penghargaan kepada Agong atas pelantikan terbabit serta penghormatan dan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin atas khidmat beliau.