LABUAN: Sebagai hab perniagaan dan pelancongan, Labuan bakal mendapat manfaat daripada pelaburan besar dalam keselamatan awam dan pembangunan komuniti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM11 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk pemasangan 180 kamera litar tertutup (CCTV) di Labuan dan Putrajaya bagi meningkatkan keselamatan, menambah baik penyampaian program kerajaan serta menambah daya tarikan, khususnya bagi pulau itu kepada pelancong serta pelabur.
“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang selamat bagi penduduk tempatan dan pelancong sekali gus mengukuhkan reputasi Labuan sebagai destinasi yang selamat dan berkembang maju.
“Pemasangan CCTV secara strategik di lokasi utama membolehkan pihak berkuasa memantau kawasan awam dengan efektif, mengekang kegiatan jenayah dan bertindak balas dengan lancar terhadap sebarang kebimbangan berkaitan keselamatan,” katanya kepada semasa temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini, sempena setahun menjawat jawatan Menteri bagi Wilayah Persekutuan,
Beliau berkata selain manfaat keselamatan, rangkaian CCTV itu juga akan berfungsi sebagai platform untuk menyiarkan program kerajaan dan komuniti secara terus kepada orang ramai.
“Penggunaan teknologi inovatif ini memperkukuhkan komitmen untuk memastikan penduduk sentiasa dimaklumkan dan dilibatkan dalam inisiatif yang memberi impak kepada kehidupan harian mereka.
“Keselamatan dan keterhubungan menjadi teras bagi projek ini...CCTV ini bukan sahaja tentang pengawasan tetapi juga mewujudkan komuniti yang saling berhubung dan berinformasi, ini juga pastinya akan meningkatkan keyakinan pelancong dan pelabur bahawa Labuan mampu memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Dr Zaliha berkata peruntukan itu juga antara strategi kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan Labuan dan Putrajaya dengan insfrastruktur moden.
Bagi Labuan khususnya, langkah tersebut sejajar dengan aspirasi untuk mengukuhkan kedudukan pulau bebas cukai itu sebagai destinasi utama untuk perniagaan, rekreasi, dan pertukaran budaya.
Sementara itu, pelancong dan pelabur mengalu-alukan pengumuman itu yang dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dan meningkatkan pengalaman menarik mereka di pulau itu.
“Pelaburan kerajaan terhadap keselamatan dan penggunaan teknologi maju bagi menggalakkan inklusiviti dan keterhubungan meningkatkan keyakinan kami pada Labuan sebagai destinasi utama,” kata Jerome Lee Ng Kuan, 49, yang kerap berkunjung ke pulau itu.
Pensyarah di sebuah universiti tempatan Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata pendekatan komprehensif terhadap keselamatan dan penyertaan awam bakal menjadi contoh kepada kawasan lain untuk mewujudkan keseimbangan antara pembangunan dengan kebajikan rakyat.