Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) menyeru parti-parti politik berpangkalan di Sabah untuk menyokong inisiatif “Parti Tempatan Bertanding Semua 73 Kerusi”.
Ketua Penerangan Chin Vui Kai, berkata mereka mendapati beberapa parti berpangkalan di Sabah yang bersekutu dengan gabungan politik nasional menghadapi cabaran besar untuk memperjuangkan autonomi yang lebih besar secara sepenuhnya.
“Mereka sering menghadapi kekangan dalam memperjuangkan hak Sabah dalam struktur pembuatan keputusan parti nasional mereka sekarang.
“Kami menggesa perpaduan yang kukuh, tekad, dan rasa tanggungjawab kolektif untuk menunjukkan misi parti-parti politik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
SAPP turut merayu kepada parti-parti bukan berpangkalan di Sabah untuk menghormati aspirasi rakyat Sabah terhadap autonomi politik.
“Kami menggesa mereka agar tidak bertanding dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah, mencontohi duluan yang ditunjukkan oleh Perikatan Nasional dan
Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lepas, di mana BN dan PN tidak meletakkan calon.
“Ini akan benar-benar mencerminkan penghormatan terhadap autonomi tiga wilayah Malaysia,” katanya.
Chin berkata SAPP percaya masa depan Sabah harus ditentukan oleh rakyatnya sendiri, sambil mengulangi pendirian tegas parti itu dalam mempertahankan autonomi politik Sabah.
“Hanya dengan memastikan parti-parti tempatan bertanding di semua 73 kerusi, kerajaan Sabah boleh membebaskan dirinya sepenuhnya daripada campur tangan luar dan mempertahankan maruah Sabah,” tegasnya.