TAWAU: Seorang lelaki warga tempatan, 53, yang disyaki terlibat kes pecah masuk sebuah bengkel kolam udang di Kg Wakuba, berjaya ditangkap polis kurang 25 jam, pada Selasa.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditangkap dalam serbuan sebuah rumah di Kg Sungai Gading, Batu 18 Jalan Apas sekitar jam 10.30 malam, selepas dikenalpasti.
Menurutnya, pasukannya turut merampas beberapa peralatan bengkel yang dipercayai hasil curi, antaranya sebuah mesin welding, sebuah mesin grinder dan sebuah mesin dril.
Katanya, pihaknya sebelum itu menerima laporan polis dibuat penyelia syarikat kira-kira jam 1.24 petang pada hari sama berkenaan kejadian tersebut yang mengakibatkan kerugian RM3,000.
"Hasil siasatan awal mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan kita juga sedang menyiasat samada suspek bertindak bersendirian atau mempunyai rangkaian dengan individu lain,"katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.