PAPAR: 10 pasukan akan berentap pada Festival Pertandingan Kompang peringkat Parlimen Papar pada 1 Januari ini di Dewan Datuk Salleh Sulong di sini.
Menurut pengerusi penganjur merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pantai Manis Rahman Latip
(gambar), acara tahunan itu merupakan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Papar dengan kerjasama Pejabat UPPM Pantai Manis.
“Daripada jumlah itu, hanya lapan pasukan akan mara ke peringkat akhir. Kami berharap festival akan semeriah tahun lepas apabila dihadiri lebih 1,000 orang,” katanya.
Juara akan membawa pulang RM1,000, naib juara RM700 dan tempat ketiga bakal mendapat RM500. Penyertaan adalah percuma.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali dijangka merasmikan festival itu, yang bertujuan bagi menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat Papar di samping mengekalkan budaya tradisi agar tidak ditelan zaman.