KUNAK: Budaya berhimpun untuk menunjukkan ketidakpuasan hati bukan sebahagian daripada norma masyarakat di negara ini, dan boleh mengundang kejadian tidak diingini.
Lebih memburukkan keadaan sekiranya apa yang dipanggil “perhimpunan aman” itu bertukar menjadi huru-hara apabila peserta tidak dapat mengawal emosi mereka.
Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Dato’ Seri Anil Sandhu berkata rakyat Malaysia seharusnya tidak terikut-ikut atau meniru budaya negara lain yang suka mengadakan protes di jalan raya.
“Budaya berhimpun ini bukanlah sebahagian daripada norma masyarakat kita. Jangan kita meniru amalan negara lain (seperti yang berlaku di Bangladesh), yang akhirnya merugikan semua pihak.
“Jika ada sebarang ketidakpuasan hati, terdapat saluran yang lebih wajar dan berhemah untuk meluahkan pandangan tanpa perlu melakukan perhimpunan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Katanya, walaupun dilakukan secara aman, perhimpunan sebegitu tidak akan menyelesaikan masalah, malah boleh merugikan semua pihak.
“Sebagai anak jati Sabah yang mendambakan kestabilan dan keharmonian, saya menyeru seluruh rakyat mengutamakan keamanan dan keharmonian di negara ini,” katanya.
Anil, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu berkata, “Kesan negatif daripada tindakan sedemikian perlu difikirkan dengan mendalam,” katanya, mengulas laporan mengenai satu perhimpunan yang bakal diadakan di Kota Kinabalu minggu depan.
Terdahulu, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang untuk mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada 31 Disember ini.
“Mahasiswa terbabit dalam perhimpunan ini juga digesa supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian mereka untuk memperoleh keputusan cemerlang.
“Ketika ini adalah masa untuk menimba ilmu, bukannya terlibat dalam urusan pentadbiran negeri ataupun dunia politik.
“Saya yakin, akan tiba juga masanya untuk mahasiswa menyumbang bakti dalam arena politik selepas (tamat pengajian) memiliki kerjaya yang kukuh, barulah anda boleh menyumbang dalam arena politik dengan lebih bermakna,” katanya.
Sementara itu, Anil menyeru pihak berkuasa, terutamanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar mengambil langkah tegas menilai segala risiko yang mungkin timbul dan sedaya upaya menghalang perhimpunan seperti ini.
“Kita tidak mahu budaya ini menjadi ikutan yang boleh menggugat keharmonian negeri tercinta ini. Marilah kita bersama-sama menjaga keamanan Sabah demi masa depan yang lebih baik,” katanya.