Kota Kinabalu: Seorang tukang masak berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kerana merompak seorang pelajar.
Asmat Jimin mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, terhadap pertuduhan terhadapnya pada Khamis.
Dia merompak telefon bimbit remaja lelaki berusia 14 tahun itu dengan menggunakan pisau mentega pada 12.15 tengah hari pada 20 Dis 2024 di Central Shopping Plaza di Kepayan Ridge, dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Asmat menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 26 Dis 2024.
Semasa mitigasi, Asmat yang tidak diwakili memohon hukuman ringan dengan mengatakan ia adalah kesalahan pertamanya dan dia menyesali kesalahannya serta berjanji tidak akan melakukan sebarang jenayah lagi.
Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia merompak pelajar itu kerana terdesak memandangkan abangnya baru sahaja menghalaunya keluar dari rumah.
Asmat turut memaklumkan kepada mahkamah dia perlu menjaga ibunya yang sudah tua.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sofia Sawayan mendesak hukuman setimpal atas alasan Asmat merompak pelajar yang baru balik dari sekolah itu dan turut menggunakan pisau mentega itu untuk mendapatkan telefon bimbit daripada mangsa.
Tambahnya, pelajar itu pernah mengalami situasi traumatik akibat tindakan Asmat.
Sofia berhujah alasan Asmat bahawa dia baru dihalau dari rumah adalah tidak boleh diterima untuk melakukan jenayah tersebut.
Dia memohon hukuman yang sesuai dikenakan terhadap Asmat sebagai pengajaran bukan sahaja kepadanya, tetapi juga individu yang berfikiran sama.
Mahkamah mendengar mangsa dan rakan-rakannya pergi ke tempat tersebut selepas tamat sekolah.
Apabila mereka tiba di pintu masuk kecemasan, tiba-tiba lelaki tidak dikenali menghampiri mangsa dan mengacukan pisau mentega ke arahnya, meragut telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Mangsa dan rakan-rakannya cuba mengejar lelaki yang kemudian dikenali sebagai Amat, namun tidak berjaya.
Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Asmat telah ditahan pada 26 Dis 2024 dan pisau mentega itu ditemui.
Mangsa turut mengenal pasti Asmat sebagai orang yang menyamunnya.