SANDAKAN: Para juara sukan kombat Muay Thai bakal beraksi di Elopura selama dua hari di SMJK Tionghua Sandakan pada 11 dan 12 Januari minggu depan.
Perlawanan Elopura Fights: Reunion of Champions (Pertarungan Elopura: Pertemuan Semula Juara) ini membuka tirai tahun 2025 sukan Muay Thai di mana lebih 100 peserta dari seluruh Sabah akan beraksi.
Presiden Persatuan Muay Thai Daerah Sandakan (SDMTA) Mohamad Ajman Ajmain berkata, tarikh 11 dan 12 Januari ini adalah bulan yang dinanti-nantikan peminat sukan seni pertahanan diri itu di daerah ini.
“Acara meriah ini diadakan untuk memilih siapa juara antara juara yang terbaik dalam seni pertahanan diri ini,” katanya pada Jumaat.
Katanya, acara itu akan mempamerkan aksi terbaik Muay Thai yang diharap dapat menyemarakkan semangat komuniti dan pada masa yang sama berpotensi merangsang pelancongan sukan di daerah ini.
Perlawanan ini, katanya, menjanjikan pengalaman yang mendebarkan buat peminat dan penonton awam sukan lasak ini.
Dalam pertarungan itu nanti, ia akan menampilkan kategori Muay Thai Sport (amatur) yang membabitkan lebih 100 peserta dari seluruh Sabah dan negeri lain dalam Malaysia merangkumi pelbagai peringkat umur.
Sukan ini diktiraf oleh Persatuan Muay Thai Malaysia, Persatuan Muay Thai Negeri Sabah, dan berada dalam seliaan Persekutuan Muaythai Antarabangsa (Ifma) serta Majlis Muaythai Dunia (WMC).
“Kejohanan ini menjamin tahap profesionalisme dan keadilan yang tertinggi. Selain kredibiliti di atas, acara ini turut diiktiraf oleh Jabatan Pendidikan Sabah. Ini membolehkannya menjadi sebagai aktiviti ko kurikulum peringkat negeri untuk pelajar.
“Kategori pertarungan profesional menjadi tarikan utama di mana ia mempertemukan pejuang Muay Thai Sabah dengan lawan dari seluruh Malaysia.
“Wira tempatan Riedzwan Norsyahmie Daud dan Dazaisy Hafiyy Aznee akan beraksi dan bersedia menunjukkan kehebatan mendebarkan yang pasti membanggakan peminat tempatan mereka,” katanya.
Menghangatkan lagi acara ialah legenda Muay Thai Malaysia seperti Ali Yaakub yang digelar sebagai ‘Captain Malaysia’ dan Hasril Nazmi (Dancing Boy) akan turut mempamerkan kemahiran seni pertahanan diri mereka di gelanggang di Sandakan.
Menurut Ajman, dua legenda negara itu dikatakan tiada tandingan serta membawa persembahan Muay Thai ke tahap lebih tinggi.
“Elopura Fights bukan sekadar acara sukan. Dengan menarik peserta, pegawai dan peminat dari seluruh negara, acara ini dijangka meningkatkan ekonomi Sandakan melalui pelancongan sukan.
“Ini akan memberikan limpahan perniagaan tempatan seperti membantu sektor hospitaliti dan mendedahkan tarikan kebudayaan yang akan dimanfaatkan semua pihak,” katanya.
Kehadiran ramai penonton dan pelawat di gelanggang kombat pertahanan diri ini adalah peluang penting untuk mempamerkan Sandakan sebagai destinasi yang dinamik dan mesra kepada semua.
Menurutnya acara sukan ini bukan sahaja membuka kalendar sukan tahun 2025 tetapi juga menandakan permulaan yang berpotensi besar untuk pembangunan pelancongan dan ekonomi Sandakan.
Gabungan keunggulan sukan, penglibatan komuniti dan promosi budaya akan menjadikan daerah ini, khususnya Elopura bakal meninggalkan impak berkekalan di rantau ini.
Ajman menambah, mereka berharap ribuan peminat sukan ini akan datang menyaksikan perlawanan kali yang keempat yang diadakan di Sandakan ini.
“Marilah datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan seni pertahanan diri Muay Thai pada tarikh yang ditetapkan di sini. Kami janji sukan kombat ini pasti menyemarakkan sesiapa sahaja yang menonton aksi-aksi pertarungan yang menarik,” jelasnya.