BEAUFORT: Penyelesaian menyeluruh isu banjir di Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan menjadi antara fokus Adunnya, Datuk Ruslan Muharam bagi perancangan pembangunan untuk tahun ini.
Beliau berkata, walaupun masalah itu semakin kurang berbanding sebelum ini hasil inisiatifnya dalam projek penyelenggaraan Sungai Api-Api, di sini, namun banjir masih berlaku di beberapa kampung.
Sehubungan itu katanya, beliau akan membawa cadangan projek pembinaan gabion di sepanjang tebing Sungai Api-Api ke peringkat kerajaan persekutuan bagi penyelesaian total masalah tersebut.
“Cadangan ini sejajar dengan perkara tujuh, isu tebatan banjir dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat sempena tahun baru 2025, baru-baru ini.
“Saya juga sudah berbincang dengan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Beaufort mengenai projek ini yang dilihat satu cara terbaik untuk atasi isu banjir di Lumadan.
“Justeru, kita akan bawa cadangan projek ini kepada kerajaan persekutuan untuk pelaksanaan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan di Hospital Daerah Beaufort, di sini pada Sabtu.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, punca banjir sebelum ini disebabkan Sungai Api-Api dipenuhi semak samun tebal hingga menyekat aliran air banjir keluar ke laut.
Susulan itu katanya, projek pembersihan sungai itu harus sentiasa dilaksanakan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM500,000 setiap kali kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.
“Justeru, projek pembinaan gabion di sepanjang tebing Sungai Api-Api ini mampu menyelesaikan terus isu banjir di kawasan ini kerana dapat menghalang tumbuhan semak memenuhi sungai tersebut.
“Pada masa sama, pembinaan gabion ini dapat memberi impak kepada sektor pelancongan di kawasan ini kerana Sungai Api-Api memiliki kepelbagaian diversiti semulajadi.
“Jika sudah ada gabion, kita boleh bina jalan di atasnya, sekaligus membuka pilihan kepada pelancong sama ada guna kenderaan atau perahu untuk menikmati alam semulajadi di sungai ini,” katanya.
Pada lawatan itu, Ruslan berkesempatan beramah mesra dengan 120 bakal haji dan umrah dari daerah Beaufort yang membuat pemeriksaan kesihatan di hospital tersebut.