Kota Kinabalu: Seorang penjual dalam talian didenda sejumlah RM7,500 kerana menjual produk yang mengandungi racun serta produk tidak berdaftar secara haram.
Endi Zinin, 39, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus atas empat pertuduhan dihadapinya pada Isnin.
Bagi pertuduhan pertama, Endi didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan kerana menjual tiga produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pukul 8.45 malam pada 4 Oktober 2022 di hadapan 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd di Kg Tembovo Taman Ketiau, Putatan.
Kesalahan di bawah Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua, Endi didenda RM1,500 atau penjara dua bulan kerana menjual satu botol produk Vimax yang dikesan mengandungi Sibutramine, yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952, di lokasi dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Endi diperintahkan membayar denda RM2,500 atau penjara empat bulan kerana menjual 10 jenis produk yang dikesan mengandungi pelbagai jenis racun, di lokasi dan masa sama.
Bagi pertuduhan keempat, dia didenda RM1,500 atau penjara dua bulan kerana menjual satu kotak produk Tissue Super Magic Man yang mengandungi Lignocaine, di tempat dan masa sama.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Endi tidak mempunyai lesen untuk menjual produk-produk yang mengandungi racun.
Kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta sama itu membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Mah Soo Ying dari Jabatan Farmasi mengendalikan pendakwaan.