Kota Kinabalu: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Luyang Gee Tien Siong menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menangani dakwaan penyalahgunaan bangunan tempat letak kereta bertingkat Luyang yang baru dibuka.
Menurutnya, sejak bangunan parkir baharu di Luyang itu dibuka pada 1 Jan lepas, unitnya menerima banyak aduan daripada penduduk, termasuk ada yang membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan kemudahan itu.
“Tempat letak kereta itu telah menjadi tempat berkumpul penggemar kereta dan motosikal pada lewat malam, dengan aktiviti seperti meligatkan (rev) enjin, memandu laju dan memainkan muzik kuat.
Tindakan ini menimbulkan gangguan bunyi yang ketara, khususnya menjejaskan keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas.
“Kita harus maklum bahawa kemudahan itu tidak direka untuk aktiviti sedemikian. Ruangnya yang terhad menjadikannya tidak sesuai dan tidak selamat untuk memandu laju atau perhimpunan besar, menimbulkan risiko keselamatan kepada peserta dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.
Gee menggesa semua individu supaya bertimbang rasa terhadap jiran mereka dan menggunakan kemudahan itu secara bertanggungjawab.
“Selain itu, kami menyeru DBKK untuk mengambil tindakan segera dengan melaksanakan langkah-langkah pemantauan yang lebih ketat bagi memastikan kemudahan itu digunakan sewajarnya.”