Kota Kinabalu: Masyarakat di Semenanjung perlu belajar daripada Sabah mengenai toleransi dengan mengelak isu-isu agama disensasikan.
Pengerusi Du’at Al-Falah, Ahmad Faiz Fatih Al-Azhari berkata, berdasarkan taklimat Mufti Negeri, Sabah begitu terbuka dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri ini kekal harmoni kerana tidak terbawa-bawa budaya ektremis daripada luar.
“Jadi, kita mahu terapkan ada keistimewaan di Sabah dan keharmonian ini mungkin boleh kita di Semenanjung belajar daripada Sabah.
“Kita tidak mahu apabila sesuatu perkara sikit-sikit disensasikan sebagai urusan agama, sikit-sikit sensitif urusan agama. Itu yang kita nak belajar daripada Sabah,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Du’at Al-Falah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Harun Durabi dan turut dihadiri Penolong Naib Canselor (Strategik) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree selaku wakil Naib Canselor.
Ahmad Faiz berkata, persidangan yang menyentuh nilai-nilai Madani itu menerapkan diskusi ilmiah yang sesuai dengan masyarakat Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam berbicara tentang agama, ia harus dilakukan oleh pendakwah bertauliah termasuk daripada pihak autoriti agama agar ajaran yang disampaikan tidak menimbulkan perdebatan.
“Untuk berbicara tentang agama bukan sembarangan orang boleh bercakap, bukannya asalkan influencer (pempengaruh) popular pandai berbicara pasal agama, maka dia layak bercakap.
“Kadang-kadang influencer tidak sedar mereka sensasikan sesuatu perkara hingga menyebabkan berlaku pergaduhan dalam masyarakat,” katanya.
Ahmad Faiz berkata, itu sebabnya perlu ada penglibatan pihak autoriti dalam membantu memastikan ilmu agama yang disampaikan kepada masyarakat daripada mereka yang bertauliah.
Misalnya, Du’at Al-Falah bekerjasama dengan Fakulti Pengajian Islam UMS bagi menampilkan pihak autoriti kepada masyarakat.
“Apabila ada penglibatan fakulti sebegini, masyarakat tahu yang bercakap tentang agama adalah orang yang mempunyai autoriti.
“Ini penting dalam menyekat salah faham tentang agama dan ekstremis tentang agama,” kata Ahmad Faiz.
Seminar Antarabangsa Du’at Al-Falah itu adalah seminar pertama seumpamanya dianjurkan di Sabah dan membabitkan 150 peserta, termasuk dari Brunei Darussalam dan Indonesia.