SANDAKAN: Taktik dua wanita tempatan di sini untuk membuat laporan palsu kononnya mereka menjadi mangsa samun bersenjata akhirnya terbongkar selepas siasatan polis mendapati kejadian itu tidak pernah berlaku.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan pada jam 12.05 tengah hari Rabu daripada seorang wanita berusia 34 tahun dan rakannya berusia 20 tahun.
Dalam laporan tersebut, mereka mendakwa disamun tiga individu bersenjatakan pisau di Bandar Sandakan pada jam 7 malam hari Selasa.
“Menurut pengadu, telefon bimbit mereka dan wang tunai berjumlah RM136 dilarikan oleh suspek,” kata Abdul Fuad.
Namun, hasil siasatan mendalam oleh pihak polis menemui banyak percanggahan dalam keterangan kedua-dua wanita tersebut.
“Kami mendapati kejadian samun yang dilaporkan tidak berlaku. Sebaliknya, kedua-dua mereka sebenarnya telah menggadaikan telefon bimbit mereka di kedai pajak,” jelasnya.
Menurut Abdul Fuad, kedua-dua wanita tersebut, yang merupakan suri rumah, mengakui bahawa mereka terdesak mendapatkan wang untuk membeli barangan kosmetik.
Kedua-dua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Abdul Fuad turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu, kerana tindakan sedemikian hanya membazirkan masa dan sumber pihak berkuasa.