KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya gagal melintasi sebuah jambatan konkrit lalu hanyut dibawa arus kira-kira 15 meter dari jambatan itu di Sungai Simpangan, dekat sini pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, PPgB Mohd Hasbi Hajat berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.31 petang mendapati mangsa yang dianggarkan berumur lingkungan 20-an itu berada pada bumbung kenderaan tersebut.
Katanya, pasukan bomba lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) bertindak menyeberang sungai untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali.
" Operasi terkawal sebaik sahaja mangsa berjaya dibawa naik ke tempat selamat pada jam 5.50 petang, dan operasi tamat pada jam 6.08 petang," katanya.
Menurut Hasbi, seramai lapan anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Dusin Sagaron bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.20 petang menerusi talian balai.