RANAU: Empat sekeluarga terpaksa diselamatkan pasukan bomba selepas mereka terperangkap dalam banjir, susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira empat jam di Kg Sedul 1, di sini, kira-kira 9.30 malam Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, PPgB Ridwan bin Mohd Taib berkata banjir kilat itu turut menjejaskan puluhan penduduk di seluruh daerah itu.
“Kami menerima panggilan pada jam 9.35 malam menerusi talian MERS999 dan satu pasukan lima anggota diketuai Komander Operasi PBKII KUP Kamidin Rasim bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera CFRT.
“Setibanya di lokasi yang terletak 16 kilometer dari balai, kami mendapati sebuah keluarga termasuk dua dewasa dan dua kanak-kanak terperangkap dalam banjir.
“Pasukan membantu mangsa menyeberangi sungai yang dinaiki air menggunakan tali dan jaket keselamatan, dan selepas itu menghantar mereka ke rumah saudara mereka,” katanya.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya, Ridwan berkata operasi itu ditamatkan pada 11.22 malam.
Ridwan berkata, kawasan lain yang terjejas banjir termasuk Sungai Mansahaban, Sungai Lohan, Kg Marakau, Kg Kituntul Lama, Kg Kinapulidan, Kg Libang, Kg Kananapon, SK Libang dan semua kawasan yang terletak berhampiran sungai utama di daerah itu. Sementara itu, salah seorang mangsa banjir Sani Digi@Diki, 50, dari Kg Kananapon berkongsi detik paniknya sepanjang pengalaman perit itu apabila air banjir melanda dengan pantas.
“Kami hanya mendengar deruan air yang kuat dan tidak sempat bertindak pantas untuk menyelamatkan barang berharga, tetapi terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa kami ke rumah jiran yang terletak di kawasan lebih tinggi,” katanya.
Mujur dia dan seluruh keluarganya selamat, tetapi barang-barang berharga di rumah mereka terpaksa ditinggalkan, dan pada pagi Jumaat, keluarga Sani pulang untuk mencari apa-apa barang yang masih boleh digunakan di bawah lumpur dan pasir.
Ridwan berkata, semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi musim banjir serta ancaman hakisan tanah.
Beliau menggesa penduduk di sini supaya sentiasa berwaspada dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini kerana keadaan boleh berubah dalam masa beberapa minit.
“Kami berharap penduduk di sini, terutama yang tinggal berdekatan dengan sungai, sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan persekitaran serta bersedia untuk berpindah sekiranya paras air mula meningkat.
“Simpan dokumen penting di satu tempat (supaya) senang dibawa keluar sekiranya berlaku kecemasan, juga segera keluar rumah dan pergi ke tempat lebih selamat jika kejadian serupa berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk kampung di sini supaya tidak teragak-agak dan menghubungi Bomba Ranau 24 jam pada talian 088-878779 atau MERS999 dengan segera sekiranya berlaku banjir, retakan atau tanah runtuh.
Sehingga laporan ini pada malam Jumaat, cuaca di Ranau stabil dan Ridwan berkata tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.