KENINGAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengenal pasti sebanyak 799 kawasan perkampungan sering berlaku banjir, termasuk kawasan bandar dan pekan.
Pengarah JBPM Sabah, Zainal Madasin berkata ia membabitkan Penampang, Sipitang, Tenom, Beaufort dan beberapa daerah lagi di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berkata JBPM Sabah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang Monsun Timur Laut (MTL) 2.0 bersama rakan strategik.
Katanya, ini bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjaga jika berlaku banjir.
“Kita sudah bersiap siaga dan kita mempunyai tenaga dan logistik sedia ada untuk menangani banjir bagi gelombang kedua ini kerana kita juga ada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Bantuan (PBB),” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja di Balai Bomba Dan Penyelamat Keningau, pada Rabu.
Beliau berkata, kesiapsiagaan dibuat kerana hujan dan angin ribut berterusan di pantai timur Semenanjung dan juga di Sabah ketika ini.
Dalam perkembangan lain, Zainal turut mengingatkan orang awam agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak lalai bagi mengelak sebarang kejadian seperti kebakaran, khususnya semasa sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.
“Pastikan rumah dalam keadaan selamat, termasuk peralatan elektrik, dan dapur gas ditutup selepas digunakan,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan dan pegawai kanan JPBM Sabah.