SEMPORNA: Pasukan pelupusan periuk api Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memusnahkan sejenis bom lama tidak meletup (UXO) yang ditemukan di perairan Pulau Sibuan pada 7 Januari lalu.
Komando Wilayah Laut Kedua (Mawilla 2) di Sandakan dalam kenyataan berkata UXO terbabit dimusnahkan sekitar jam 3.10 petang oleh pasukan dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) TLDM di Lumut bersama Mawilla 2, diketuai oleh Leftenan Komander Ghazali.
Pasukan itu digerakkan untuk proses pelupusan bom UXO bermula 10 Januari.
UXO yang ditemukan.
“Siasatan mendapati UXO sepanjang tiga kaki panjang dan satu kaki lebar itu dipercayai sisa peninggalan Perang Dunia Kedua sekitar 1945 dan seberat 250 kilogram.
“Siasatan Pasca Letupan (PBI) TLDM mengesahkan bahawa UXO itu adalah bom udara, iaitu sejenis alat letupan yang dijatuhkan dari pesawat,” menurut kenyataan TLDM.
Menurut kenyataan tersebut, UXO itu berjaya dimusnahkan menggunakan kaedah Blow in Place (BIP), iaitu teknik pelupusan yang dilakukan di lokasi penemuan dengan langkah keselamatan tertinggi. Tiada kerosakan pada harta benda atau persekitaran marin dilaporkan selepas proses terbabit.
TLDM juga menerima kerjasama daripada agensi keselamatan lain, termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Pasukan Petugas Bersama 2 (ATB2), dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna.
Pada 7 Januari, Taman-Taman Sabah telah mengeluarkan notis penutupan sementara untuk Stesen Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, susulan penemuan objek menyerupai bom tersebut.