TAWAU: Enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37 Jalan Semporna-Tawau pada Ahad, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri kahwin di Batu 4, Jalan Apas.
Tragedi itu meragut nyawa seorang wanita, Jaimah Jailani, 30-an bersama bayi lelakinya Nur Aiman Nurhakim berusia lapan bulan, dan anak perempuannya, Nur Inara Aida Nurhakim, 4.
Tiga lagi mangsa yang terkorban dalam nahas itu adalah seorang wanita warga emas, Hasbira Ladja Hani, 82, (nenek) serta dua remaja lelaki, Mohd Nabil Kalno, 14, dan sepupu mereka dikenali dengan panggilan Oyong, 18.
Menurut bapa kepada salah seorang mangsa, Kalno Asan, 43, dia sama sekali tidak menyangka tragedi itu meragut nyawa enam ahli keluarganya sekali gus, termasuk anak lelakinya yang disifatkannya budak baik dan mendengar kata.
Katanya, dia mendapat maklumat kejadian daripada anak buahnya sekitar jam 6 petang dan tidak menyangka kesemua enam ahli keluarganya ‘pergi’ serentak.
“Paling menyedihkan adalah keluarga adik ipar saya, Nurhakim Mansur, 34, yang ‘hancur’ kerana kehilangan isteri dan dua anaknya, dan dia sendiri kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau kerana cedera parah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Kalno berkata, Nurhakim yang memandu Proton Wira ketika kejadian, baru sebulan lebih pulang ke kampung dan bekerja sebagai tukang di sebuah pusat peranginan di Semporna kerana isteri dan dua anaknya menetap di daerah itu.
“Arwah (Nurhakim) sebelum ini bekerja di Johor dan merancang untuk kembali bekerja di sana untuk menyambung kontraknya dalam masa terdekat… Sementara cuti, dia mengikut saya bekerja. Dia memang tidak memilih kerja,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau, pada Isnin.
Seorang lagi ahli keluarga mangsa, Abdul Rahman Askalani, 53, berkata, mereka amat terkejut kerana kehilangan ahli keluarga yang ramai secara serentak, namun reda dengan ketentuan dan takdir.
Menurutnya, kesemua jenazah akan dibawa pulang ke Semporna untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Semporna apabila proses bedah siasat selesai, dijangka petang Isnin.