DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang merancang strategi untuk mengurangkan masalah air bertakung di Pusat Komersial Fortuna dan meminta syarikat konsesi kerajaan meningkatkan usaha untuk menyelenggara longkang tepi jalan di Taman Likas Jaya.
Tindakan ini diambil susulan maklum balas daripada seorang pekerja di pusat komersial terbabit dan seorang penduduk di Taman Likas Jaya mengenai masalah saliran di kawasan masing-masing.
Pekerja pejabat itu mengeluh tentang kesulitan dialami pemandu yang menggunakan beberapa ruang parkir dekat bangunan itu apabila hujan, kerana air hujan sering bertakung di kawasan itu.
AIR hujan bertakung di bahagian tempat letak kereta ini selama bertahun-tahun.
Sementara itu, penduduk Taman Likas Jaya mengesyaki air di longkang luar halaman rumahnya bertakung, berdasarkan bau busuk yang datang dari arah struktur berkenaan.
Mereka berkongsi maklumat terperinci mengenai aduan mereka kepada Hotline. Ini kemudiannya dikemukakan kepada agensi berkaitan.
Jurucakap Jabatan Pengangkutan dan Trafik DBKK berkata, pemeriksaan awal di Pusat Komersial Fortuna, Lorong Seroja 1, mendapati kekurangan saluran keluar untuk mengalirkan air dari tempat letak kereta ke longkang monsun berhampiran.
“Salah satu cara untuk mengurangkan masalah takungan mungkin dengan memasang ‘lubang leleh’ di sepanjang pembahagi antara tempat letak kereta dan longkang,” katanya.
“Kakitangan kami mendapati pemaju gagal menyediakannya semasa tempat letak kereta itu mula-mula dibina.”
Dia berkata Jabatan Kejuruteraan akan dimaklumkan tentang pemerhatian ini.
“Rakan kami di Jabatan Kejuruteraan akan merangka pelan tindakan berpotensi untuk menyelesaikan masalah saliran di kawasan tempat letak kereta.”
Jurucakap itu menjelaskan bahawa ‘lubang leleh’ ialah bukaan kecil pada tembok penahan dan struktur lain untuk membolehkan air mengalir keluar.
“Buat masa ini, longkang sementara telah dibuat pada kawasan pemisah antara tempat letak kereta dan longkang monsun.
“Enam kakitangan Pengangkutan dan Trafik menggunakan cangkul untuk menggali saluran di kawasan rizab tersebut. Mereka juga membersihkan akar pokok kecil untuk memastikan aliran air tidak tersekat,” tambahnya.
SEORANG pekerja syarikat konsesi sedang membersihkan longkang di sepanjang Lorong Kenari 2.
“Langkah ini diharapkan dapat memberikan kelegaan sementara kepada pemandu yang kerap menggunakan kawasan itu.”
YAP dari Penampang berkata air hujan sering bertakung di salah satu bahagian Pusat Komersial apabila hujan lebat.
Dakwanya, masalah itu sudah berlaku “selama bertahun-tahun”.
“Air boleh naik setinggi paras betis dan takungan ini mengambil masa untuk surut,” katanya.
“Masalah ini berlaku begitu kerap sehingga menyebabkan keadaan jalan di kawasan tersebut semakin teruk.”
Yap berkata permukaan jalan yang tidak rata menjadi punca kekecewaan kepada pemandu yang sering ke kawasan itu.
“Majikan saya sudah membawa masalah saliran dan jalan ini kepada syarikat pengurusan untuk pusat komersial itu.
“Kakitangan firma itu mendakwa aduan kami sudah pun disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan.”
Dalam kes Taman Likas Jaya, jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata pemeriksaan dilakukan di Lorong Kenari 2 tidak lama selepas mereka dihubungi media.
“Kakitangan landskap mengesahkan longkang tepi jalan dipenuhi air dan tersumbat oleh rumpai,” katanya.
Dia berkata syarikat konsesi telah dimaklumkan mengenai penemuan ini dan disarankan untuk mengambil tindakan sepatutnya.
“Kakitangan kami kembali seminggu kemudian dan mendapati tumbuhan air telah dibersihkan serta longkang perumahan di Lorong Kenari 2 dinyahkelodak.”
Jurucakap itu menjelaskan bahawa syarikat itu bertanggungjawab menyelenggara longkang di sepanjang jalan perumahan di Ibu Negeri, manakala DBKK mengendalikan longkang di belakang kediaman di bawah bidang kuasanya.
Struktur longkang terbabit dibersihkan mengikut jadual tetap, dengan longkang di belakang rumah dibersihkan setiap enam bulan sekali.
“Jika perlu, kakitangan kami akan masuk sebelum jadual yang ditetapkan untuk menangani aduan berkaitan longkang di belakang rumah.”
“Kami merayu kepada syarikat konsesi kerajaan untuk meningkatkan tindakan pembersihan longkang di Taman Likas Jaya.”