TAWAU: Seorang warga tempatan berumur 54 tahun disaman kerana mengangkut sebuah televisyen bersaiz besar di dalam sebuah teksi dengan kedua-dua pintu penumpang belakangnya terbuka.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial apabila rakaman video kejadian itu tular sejak Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau menerima maklumat kejadian tersebut sekitar jam 3.30 petang.
Menurutnya, polis segera melancarkan usaha mengesan pemilik teksi berkenaan berdasarkan video tular berkenaan.
Hasil semakan sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) kira-kira jam 10.20 pagi mendapati kenderaan itu dimiliki seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun.
“Hasil siasatan BSPT mendapati kenderaan tersebut terbuka di kedua-dua belah pintu penumpang bahagian belakang disebabkan oleh tindakan pemilik kenderaan itu membawa muatan sebuah televisyen bersaiz besar.
“Televisyen itu disimpan di bahagian penumpang belakang kenderaan sehingga pintunya tidak dapat ditutup rapat,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Jasmin berkata, polis mengeluarkan notis saman terhadap pemilik kenderaan itu, di bawah Rule 18 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membawa barangan di atas kenderaan dengan membahayakan kenderaan lain atau orang lain.
“Pemilik kereta juga diminta menjalani ujian saringan dadah (SD2) dan ujian air kencing,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian seumpama itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada penumpang, tetapi juga boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan yang lain.
Beliau menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab semasa menggunakan media sosial dengan melaporkan sebarang kejadian berbahaya terus kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil.
Terdahulu, video tular itu yang dikongsi oleh seorang pengguna media sosial mencetuskan kebimbangan ramai tentang keselamatan penumpang dan pengguna jalan yang lain.
Antara komen pengguna media sosial adalah kereta tersebut “tersalah landasan” kerana kelihatan seolah-olah hendak terbang, sementara pengguna lain menyatakan perbuatan itu berbahaya kepada pengguna jalan.