TAWAU: Seorang lelaki cedera parah selepas tersepit dalam sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri di bahu jalan di Kg Jawa, Jalan Mawar, di sini, sekitar jam 4.40 pagi, pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata,mangsa dan tiga lagi, yang hanya mengalami cedera ringan, diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau menggunakan ambulans dan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Beliau berkata, pasukannya berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu menggunakan peralatan khas.
Sementara itu, tiga wanita dewasa dalam kereta jenis Proton Gen 2 itu, dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihaknya tiba di lokasi kejadian.
Jemishin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.47 pagi menerusi MERS 999 dan mengerahkan sepasukan lapan anggota serta dua jentera ke lokasi.
Operasi ditamatkan jam 5.23 pagi selepas memastikan keadaan selamat.