Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
Pelajar dipenjara 13 tahun, denda: Pandu mabuk hingga sebabkan kematian dua beradik
Published on: Friday, January 24, 2025
Published on: Fri, Jan 24, 2025
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Pelajar dipenjara 13 tahun, denda: Pandu mabuk hingga sebabkan kematian dua beradik
Walter pada 9 Januari lalu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan kesnya kemudiannya ditangguhkan ke 23 Januari untuk fakta dan hukuman. 
Kota Kinabalu: Seorang pelajar berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan denda RM50,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Trafik di sini kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dua beradik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), lima bulan lalu.

Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memerintahkan Walter Witjoanes menjalani hukuman penjara itu, berkuat kuasa Khamis.

Advertisement
Mahkamah juga memerintahkan supaya lesen memandu Walter diendors dengan butiran sabitan dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 13 tahun.

Walter mengekalkan pengakuan bersalahnya kerana memandu sebuah Toyota Hilux dengan 247mg alkohol setiap 100ml darah, melebihi had dibenarkan, yng mengakibatkan kematian Dg Nurshamirah Dulamit, 27, dan Dg Nurshatirah Dulamit, 24, pada 30 Ogos 2024, jam 2.35 pagi , di lampu isyarat KKIA, Jalan Kepayan, di sini.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Pertuduhan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 dan RM100,000 serta hilang kelayakan memiliki lesen jika sabit kesalahan.

Walter pada 9 Januari lalu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan kesnya kemudiannya ditangguhkan ke 23 Januari untuk fakta dan hukuman. 

Advertisement
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Wan Farrah berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor, termasuk pengakuan bersalah Walter pada peringkat pertama, mitigasinya melalui peguam bela, faktor pemberatan yang dikemukakan oleh pendakwaan, statusnya sebagai pesalah pertama, dan sifat dan keseriusan kesalahan.

Beliau berkata hukuman bagi kesalahan itu di bawah Seksyen 44 Akta itu telah dipinda dan dinaikkan bagi mencerminkan hasrat Parlimen untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah trafik.

Advertisement
“Ini mencerminkan pendirian serius Parlimen terhadap kesalahan seperti ini, dan mahkamah ini mesti menjatuhkan hukuman yang berfungsi sebagai pencegah,” kata Wan Farrah.

“Perbuatan tertuduh meragut dua nyawa yang tidak bersalah. Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian kedua-dua mangsa adalah terhidu asap, cedera di dada dan melecur akibat rempuhan jalan raya dan kebakaran kereta.

“Kehilangan nyawa tidak dapat diganti, dan kesakitan amat dirasai oleh keluarga mereka. Oleh itu, mesej yang jelas mesti dihantar kepada orang ramai tentang keseriusan kesalahan ini melalui hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah ini,” katanya sambil menambah, mahkamah juga mempertimbangkan kepentingan awam.

Terdahulu, pendakwaan ketika mengemukakan fakta kes memaklumkan kepada mahkamah bahawa siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat mendapati pada 30 Ogos 2024, jam 2.35 pagi, kemalangan jalan raya berlaku membabitkan Toyota Hilux D/Cab, Perodua Axia dan sebuah Perodua Viva di lampu isyarat KKIA.

Kemalangan itu berlaku apabila Hilux yang dipandu Walter yang dalam perjalanan dari arah pusat bandaraya menghala ke Putatan, melanggar bahagian belakang Perodua Axia yang berada di lorong paling kanan, menyebabkan kenderaan itu ditolak masuk ke lorong tengah di mana ia kemudian bertembung dengan bahagian hadapan-kanan Perodua Viva yang dipandu Mohammad Wardi Mohamood.

Ekoran perlanggaran itu, Perodua Axia itu terbakar dan berhenti di sebelah kiri jalan, bertentangan dengan lalu lintas dari arah hadapan.

Kenderaan itu terbakar sepenuhnya.

Kedua-dua pemandu Perodua Axia, Dg Nurshamirah Dulamit, dan penumpang hadapannya, Dg Nurshatirah Dulamit, rentung dengan tragis di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Laporan dari Jabatan Kimia mendapati sampel darah yang diambil daripada Walter selepas kemalangan itu menunjukkan kandungan alkohol darah 247mg/100ml, melebihi had dibenarkan undang-undang 50mg/100ml.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Dg Nurshamirah adalah terhidu asap dengan kecederaan di dada dan melecur akibat kemalangan jalan raya dan kebakaran kereta manakala punca kematian Dg Nurshatirah adalah terhidu asap dan melecur akibat kebakaran kereta berikutan kemalangan jalan raya, mahkamah diberitahu.

Suasana di galeri awam itu suram apabila ibu mangsa yang ditemani ahli keluarga dilihat menangis ketika fakta kes dibacakan kepada tertuduh.

Sementara itu, semasa mitigasi, peguam Adam D. B. Aludah yang mewakili Walter memohon hukuman penjara minimum dan denda.

“Tertuduh berasa amat kesal dan menyesal dengan tindakannya ketika kejadian. Dia tahu tindakannya itu salah dan memutuskan untuk tidak membela diri atau membuat sebarang alasan lain dan terus hidup di bawah bayang-bayang rasa bersalah, kata Adam, antara lain.

“Tertuduh baru berusia 22 tahun dan masih muda. Menghantar dia ke penjara lebih lama hanya akan mendedahkan dia kepada keadaan yang teruk dalam penjara,” kata Adam sambil menambah, Walter, yang merupakan anak bongsu, kini berada di semester akhir pengajiannya.

Timbalan Pendakwa Raya Yuvan Bharathan menggesa hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan tindakannya memandu di bawah pengaruh alkohol membawa kepada kehilangan tragis dua nyawa yang tidak bersalah.

“Tahap melulu ini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa manusia tetapi juga menjejaskan keselamatan awam dengan teruk.

“Keseriusan kesalahan ini memerlukan hukuman pencegahan, yang akan menghalang tertuduh daripada melakukan kesalahan sekali lagi dan menghantar mesej jelas bahawa kelakuan berbahaya ini tidak akan diterima dalam apa jua keadaan.

“Memandangkan keseriusan kes ini yang luar biasa ini dan kesannya terhadap keluarga mangsa dan orang ramai secara keseluruhannya, hukuman pencegahan adalah mustahak untuk mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.”

“Keseriusahan kesalahan mengatasi impak pengakuan bersalah. Dalam kes kepentingan awam di mana hukuman pencegahan diperlukan kerana keadaan tertentu kes, kesan pengakuan sedemikian mesti diketepikan,” kata DPP Yuvan, yang turut memaklumkan mahkamah bahawa Walter tidak mempunyai sabitan lampau.

Peguam Syed Anwar SH Abdullah bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga mangsa.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here