Kota Kinabalu: Pemasangan lebih 1,000 kamera litar tertutup pintar (CCTV) di seluruh bandaraya ini dijangka meningkatkan keselamatan, kata Mayor Bandaraya Dato’ Sri Dr Sabin Samitah (gambar).
Fasa awal projek itu, katanya, akan bermula awal tahun ini, melibatkan pemasangan 1,500 kamera CCTV, menumpu kepada kawasan berisiko tinggi seperti daerah komersial, kawasan perumahan, jalan utama dan pantai.
Dr Sabin berkata sistem CCTV pintar itu, dilengkapi dengan Kecerdasan Buatan (AI), akan membantu mengesan aktiviti luar biasa, seperti pergerakan atau bunyi mencurigakan, dan segera memberi amaran kepada Pusat Arahan.
“Sebagai contoh, kami pernah mengalami kecurian kabel di sepanjang kawasan pantai Tanjung Lipat, yang sering berlaku sekitar jam 3 pagi.
“Kecurian ini bukan sahaja menyebabkan bekalan elektrik terputus tetapi juga menimbulkan risiko kepada keselamatan awam, dan sistem baharu ini akan banyak membantu dalam mengenal pasti punca serta mencegah kejadian seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kupi-Kupi Mayor Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) sempena sambutan ulang tahun ke-25 Jubli Perak DBKK di sini, Jumaat.
Beliau turut berkongsi bahawa DBKK baru-baru ini memformalkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk inisiatif itu.
“Kerjasama ini amat penting kerana DBKK menyasarkan untuk menambah bilangan kamera CCTV di Kota Kinabalu, termasuk di pantai dan kawasan utama lain.
Usaha ini akan membantu meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan bandar, khususnya dalam kalangan pelancong asing.
“Skop projek itu akan ditentukan melalui pembiayaan yang disediakan oleh SKMM,” katanya.
Tambah beliau, DBKK juga akan mengenakan kompaun sebanyak RM30 kepada mana-mana individu atau pihak yang didapati membuang sampah selepas arahan larangan membuang sampah merata-rata tempat tidak diendahkan.
“Usaha ini sedikit sebanyak telah dapat meningkatkan tahap kebersihan di kawasan bandaraya Kota Kinabalu selain memastikan kecantikan landskap di bandaraya ini akan bertambah baik,” katanya.
Sabin berkata DBKK juga telah membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi membiayai sebahagian daripada projek-projek landskap di DBKK.